RAMALLAH: Seorang pemain bola sepak Palestin berusia 17 tahun meninggal dunia pada Sabtu, seminggu selepas ditembak ketika serangan oleh peneroka haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, menurut pegawai dan ahli keluarganya.
Puluhan orang berpakaian hitam mengiringi jenazah Fadi Hamdallah al-Nassan, pemain Kelab Al-Mughayyir dan anggota skuad remaja kebangsaan Palestin dari Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah ke kampung halamannya untuk dikebumikan.
Persatuan Bola Sepak Palestin menuduh tentera Israel menembak Nassan ketika peneroka haram Yahudi menyerang kampung berkenaan pada 11 Julai.
Pemain muda itu dilaporkan ditembak pada bahagian paha semasa serangan tersebut.
Kakinya terpaksa dipotong dan beliau kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, menurut persatuan itu.
Tentera Israel tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen pada Sabtu.
“Dia sangat meminati bola sepak,” kata bapanya, Hamdallah Al-Nassan, kepada AFP.
“Apabila peneroka (haram Yahudi) menyerang, dia terdengar jeritan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Dia pergi ke lokasi serangan itu dan akhirnya terbunuh,” ujarnya lagi.
Ibu remaja itu, Hanan al-Nassan berkata, anaknya sangat disenangi oleh penduduk kampung.
“Dia seorang pelajar yang baik, cemerlang dalam sukan dan sangat suka bermain bola sepak. Semua orang menyayanginya. Semoga Allah menerimanya sebagai syahid,” katanya.
Sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan peningkatan ketara keganasan yang dikaitkan dengan peneroka Israel di Tebing Barat. – AFP










