Bank Rakyat agih 13,213 pek daging korban sempena Aidiladha

Bank Rakyat agih 13,213 pek daging korban sempena Aidiladha

BANK Rakyat sumbang 13,213 pek daging di 13 lokasi di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 13,213 pek daging korban diagihkan oleh Bank Rakyat di 13 lokasi di seluruh negara menerusi program Cahaya Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, agihan daging itu daripada 181 ekor lembu melibatkan 1,267 bahagian lembu serta 214 ekor kambing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.25 juta yang disumbangkan oleh pelanggannya melalui Akaun Simpanan-I Tabung Qurban dan Surau Al Barakah.

Menurut beliau, akaun simpanan tersebut membantu pelanggan untuk melakukan simpanan lebih sistematik selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban yang lebih terjamin dan selamat di dalam serta luar negara.

“Penyertaan ibadah korban juga boleh dilaksanakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Bank Rakyat kepada pelanggan dengan simpanan yang telah mencapai harga minimum korban semasa

“Di samping itu, Bank Rakyat juga menyumbang sebanyak RM15,000 kepada 50 orang asnaf yang menerima RM300 seorang serta keperluan asas seperti beras dan minyak masak di setiap lokasi agihan daging korban.

“Bank Rakyat turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap institusi yang bekerjasama menjayakan Program Cahaya Aidiladha bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan.

Agihan daging korban tersebut dilakukan dengan kerjasama 13 rakan strategik Bank Rakyat iaitu Majlis Bandaraya Diraja Klang, Pusat Latihan Polis Dungun, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Universiti Teknologi Mara Kedah, Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Selain itu, Masjid Qariah Kampung Paya Port Dickson, Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, UiTM Shah Alam, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Bangi, Majlis Sukan Negeri Selangor serta Surau Al-Barakah bermula pada 21 Jun hingga semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammad Hanis berkata, program dijalankan merupakan inisiatif jangkauan komuniti berterusan Bank Rakyat bagi berkongsi rezeki serta membantu meringankan beban golongan memerlukan ketika musim perayaan.

“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan dan ihsan Bank Rakyat terhadap kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

“Selain itu, Bank Rakyat telah melancarkan produk Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah berkonsepkan Tawarruq pada 17 Mei yang lalu,” jelasnya.

Tambahnya, pelanggan boleh membuka Akaun Simpanan-i Tabung Qurban sebelum 30 September 2024 dan mengekalkan baki minimum RM1,500.00 di akhir tempoh kempen bagi mendapatkan peluang memenangi satu gram wafer emas.

“Pelanggan yang berminat untuk melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan Bank di talian 1300805454 serta mengunjungi mana-mana Cawangan Bank Rakyat yang terdekat untuk maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN