Bagasi RM500,000: Guna AMLA jika gagal kesan sumber wang - Utusan Malaysia

Bagasi RM500,000: Guna AMLA jika gagal kesan sumber wang

Bagasi wang
HUSSEIN Omar Khan ditemui pemberita pada perasmian program Anak Syurga dekat Dewan C'rana Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 akan digunakan polis bagi kes penemuan bagasi berisi wang lebih RM500,000 di parkir sebuah pusat beli belah di Damansara, Petaling Jaya, 19 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mengikut akta itu akan dilakukan sekiranya polis tidak dapat mengesan sumber sebenar penemuan bagasi berkenaan.

Menurutnya, kertas siasatan berkaitan kes itu sudah lengkap dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita ketika ini masih menunggu arahan lanjut bagi tindakan selanjutnya.

“Jika pemilik bagasi itu tidak menunjukkan sumber wang berkenaan, kita akan mendakwanya di mahkamah mengikut seksyen AMLA,” katanya pada sidang akhbar perasmian program Anak Syurga, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan individu yang mendakwa pemilik bagasi yang ditemui pada 19 Mac lalu sudah tampil memberi keterangan.

Individu yang juga pengarah syarikat kayu balak itu mendakwa tidak menyedari bagasi yang mengandungi wang diambil dari rumah rakannya terletak di atas pusat beli-belah berkenaan tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.

Beg saiz sederhana berwarna merah jambu dan putih itu dijumpai seorang pengawal keselamatan, kira-kira pukul 8 pagi.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan nota wang kertas RM50 dan RM100. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×