Azmin digesa mohon maaf kepada Speaker - Utusan Malaysia

Azmin digesa mohon maaf kepada Speaker

Azmin Speaker
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa mengaku salah dan memohon maaf kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San apabila mendakwa bersikap tidak profesional dan mengikut perlembagaan.

Menurut Weng San, beliau menyelar dakwaan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu yang mendakwanya tidak menjalankan aturan Sidang DUN dengan baik termasuk melibatkan tempoh masa bersidang serta peluang perbahasan dan mencelah.

“Dakwaan Ketua Pembangkang dalam kenyataannya adalah salah dan tidak profesional. Kelaziman Parlimen yang mengamalkan sistem Westminster menetapkan Speaker tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana perbahasan dan soal jawab dengan mana-mana Ahli Dewan.

“Biarpun begitu, Tuan Speaker tidak boleh memandang remeh terhadap sebarang tuduhan liar menuduhnya sebagai tidak adil dan berat sebelah. Ketua Pembangkang perlu mengakui kesilapan, menarik balik kenyataan yang salah dan memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam kenyataannya mengkritik Weng San dan Kerajaan Negeri apabila memendekkan tempoh Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang DUN Selangor Ke-15 yang berakhir pada 12 Julai lalu.

Malah, beliau turut mempersoalkan kerajaan negeri yang cuma menjawab 27 daripada 210 soalan lisan, menghadkan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 (RS1) kepada ADUN pembangkang serta Exco tidak memberi ruang sewajarnya untuk mencelah.

Justeru, Weng San menempelak bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu apabila mendakwa DUN Selangor cuma bersidang sekitar dua hingga empat hari ketika Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, sebanyak 64 soalan lisan dijawab dalam masa lima hari persidangan berakhir pada Jumaat lalu 42 peratus bagi pembangkang dan 55 peratus bagi kerajaan negeri, soalan tambahan pula 45 peratus bagi kerajaan dan 54 peratus bagi pembangkang.

“Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DNS Ke-13 bermula 17.08.2015 – 28.08.2015, mesyuarat habis awal pada 20.08.2015 (bersidang empat hari, tiada penambahan masa), Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DNS Ke-13 bermula 01.08.2016 – 12.08.2016, mesyuarat habis awal pada 02.08.2016 (bersidang dua hari, tiada penambahan masa), Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DNS Ke-13 bermula 24.07.2017 – 28.07.2017, mesyuarat habis awal pada 25.07.2017 (bersidang dua hari, tiada penambahan masa).

“Walaupun tiada sebarang rang undang-undang dibentangkan ke sidang kali ini, tetapi masa persidangan tetap dipanjangkan setiap hari persidangan, iaitu penambahan antara satu hingga dua jam, menjadikan jumlah masa dari segi jam jauh melebihi seminggu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Mohamed Azmin tentang tanggungjawab sebagai Menteri Besar perlu mengiringi Sultan Selangor untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-266 pada 17 dan 18 Julai serta Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai.

“Menteri Besar akan mengiringi Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu dan Majlis Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA XVII.

“Saya percaya Ketua Pembangkang tahu dan faham akan tugas Menteri Besar dalam perkara ini.

“Ucapan Speaker semasa persidangan pada 11 Julai 2024 tentang notis di bawah Perkara LXV A Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 selepas ucapan penangguhan Menteri Besar merupakan pengumuman Speaker selepas semua Aturan Urusan Mesyuarat selesai sebelum sidang Dewan ditangguhkan secara rasmi.

“Ucapan tersebut tidak berlaku dalam mana-mana sesi perbahasan usul atau rang undang-undang di mana ADUN boleh berbahas dan kerajaan perlu menggulung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×