Azmin dedah tanah Pulau Carey hendak ditukar biaya Stadium Shah Alam - Utusan Malaysia

Azmin dedah tanah Pulau Carey hendak ditukar biaya Stadium Shah Alam

Stadium Shah Alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 1,277 hektar tanah dekat Pulau Carey dikatakan milik Yayasan Selangor didakwa dicadangkan sebagai pertukaran atau land swap bagi membiayai projek pembangunan stadium atau Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bernilai RM3.28 bilion.

Perkara itu didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan pengesahan status tanah tersebut serta pulangan sepatutnya diterima oleh yayasan berkenaan.

Beliau berkata, terdapat tujuh bidang tanah berkeluasan antara 4.29 hektar hingga 524 hektar di Pulau Carey, Kuala Langat dipercayai dicadangkan untuk tujuan tersebut.

“Saya hendak bertanya Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) tanah-tanah itu sudah dikenal pasti untuk kaedah pertukaran tanah, saya hendak minta penjelasan bukan buat laporan polis, tidak.

“Saya bukanlah hendak menolak pembangunan KSSA, saya sokong, betul. Tetapi saya hendak tahu tanah mana, sebab sekiranya itu berlaku, kalau benar tanah-tanah itu dikenalpasti untuk pertukaran dengan pembangunan KSSA, apa pulangan kepada Yayasan Selangor?” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 (RS1) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Malah beliau turut mempersoalkan jika tanah-tanah tersebut dibuat penilaian untuk dijadikan sandaran kepada bank dan institusi kewangan bagi membiayai pembinaan kompleks yang baharu.

“Saya difahamkan diberikan maklumat itu kepada MRCB dan sudah ada rundingan beberapa bank tempatan untuk melihat apakah tanah-tanah itu boleh dijadikan sandaran untuk membiayai projek itu (KSSA).

“Ini suatu perkara yang serius tanpa pengetahuan kita dan saya hendak tahu kerajaan negeri memberikan jaminan kerajaan terhadap tanah-tanah kerajaan yang akan disandarkan kepada pihak bank dan institusi kewangan untuk membiayai satu projek bernilai RM3.28 bilion,” jelasnya.

Terdahulu, stadium ikonik yang pernah menjadi rumah kepada pasukan The Red Giant dan rumah kedua pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya dilapor mula dirobohkan pada Isnin lalu.

Kerja-kerja perobohan tersebut dilakukan selepas pemajunya mendapat permit dan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Tanah Stadium
MOHAMED Azmin Ali membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 (RS1) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu jika terdapat jaminan diberikan oleh kerajaan negeri sebagai jaminan kerajaan bagi memelihara kepentingan Yayasan Selangor.

Selain itu, beliau turut mendakwa sekiranya perkara sedemikian tidak ditadbir urus dengan betul, ia akan menjejaskan progres RS1 apabila pembangunan Pulau Carey sebagai sebahagian daripada pelabuhan pada masa hadapan akan terjejas.

“Kita lihat juga dalam RS1 di bawah Teras 1, Pengukuhan Ekonomi, apakah tanah-tanah dalam Pulau carey itu terlibat dalam pembangunan KSSA?

“Kalau itu berlaku bermakna jumlah keluasan tanah di Pulau Carey yang sepatutnya dibangunkan untuk mencapai matlamat dan sasaran RS1 akan terjejas kerana 1,277 hektar tanah itu sudah menjadi milik pemaju, bukan lagi Yayasan Selangor ataupun kerajaan negeri,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN