Azizi mahu pertahan Gua Musang jika berlaku PRK

Azizi mahu pertahan Gua Musang jika berlaku PRK

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mohd. Azizi Abu Naim mahu mempertahankan Parlimen Gua Musang sekiranya berlaku kekosongan kerusi di kawasan berkenaan. 

Justeru, katanya, beliau akan meminta pimpinan Kerajaan Perpaduan memberi peluang kepadanya selepas berjaya memenangi kerusi itu  walaupun ia tidak tersenarai dalam sasaran di peringkat Perikatan Nasional (PN) sendiri. 

“Kita tidak diberi apa-apa fasiliti sebab Parlimen Gua Musang bukan kawasan sasaran (menang) berpandukan kepada sejarah kekebalan Tengku Razaleigh Hamzah. 

“Tetapi, dua tahun saya kerja keras membuat aktiviti terutama tarik pengundi muda untuk menang. Saya telah bekerja sejak 2020 dan pada masa itu perintah kawalan pergerakan (PKP), jadi kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain sekiranya berlaku pilihan raya. 

“Saya akan guna alasan ini untuk saya jumpa dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya memberi peluang kepada saya bertanding sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini. 

Ditanya sama ada beliau mahu bertanding atas tiket Bebas atau parti Kerajaan Perpaduan, Mohd. Azizi berkata, beliau belum membuat keputusan berhubung perkara itu. 

“Selepas itu, lihat keputusan Tan Sri Speaker (Tan Sri Johari Abdul) bagaimana dan rujuk peguam (untuk tindakan selanjutnya),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Johari belum membuat keputusan selepas menghantar surat penjelasan, Khamis lepas. 

Bagaimanapun, katanya, beliau bertawakal dan menyerahkan perkara itu kepada qada dan qadar selain lawan menerusi isu teknikal. 

“Jadi saya amat yakin Tan Sri Speaker buat keputusan berpandukan kepada Perlembagaan negara. 

“Sejak pertama buat pengisytiharan, kita tidak sentuh pun isu (Perkara) 49A. Jadi saya amat yakin kerajaan hari ini dan Tan Sri Speaker akan buat keputusan baik untuk semua. 

“Terutama sekali kita faham sekarang dalam situasi yang tidak memberangsangkan dari segi ekonomi, kenapa lagi kita perlu adakan pilihan raya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN