KUALA LUMPUR: Kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan saringan dan pencegahan awal bagi mengesan gejala autisme pada anak-anak masih rendah dan perlu ditingkatkan dengan kadar segera.
Ketua Unit Perkhidmatan Kurang Upaya, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan dan Jaringan Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin berkata, kanak-kanak autisme turut mempunyai potensi yang tinggi.
Menurut beliau, sekiranya intervensi awal dapat dilakukan maka anak-anak autisme turut boleh bergiat aktif seperti kanak-kanak lain termasuk pergi ke sekolah aliran perdana dan tidak perlu ke sekolah khas.
“Ada ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran, dalam penafian iaitu sukar menerima anak mereka mempunyai autisme dan ada ibu bapa yang sedar serta mahu hantar ke pusat intervensi tetapi pusat tersebut tidak ada di kawasan mereka.
“Jika ibu bapa itu berkemampuan mungkin boleh hantar ke pusat swasta tetapi bagaimana pula dengan yang tidak mampu? Jadi seharusnya kita perlu sediakan pusat intervensi di bawah kerajaan lebih banyak supaya akses itu sampai ke semua rakyat Malaysia, kes ini boleh terjadi pada sesiapa pun, tidak kira di mana mereka berada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, negara memerlukan sekurang-kurangnya 30 pusat jagaan autisme untuk menampung jumlah kanak-kanak istimewa itu dan meringankan beban ibu bapa.
Ini kerana jumlah pusat jagaan autisme di negara ini membimbangkan dengan hanya 17 buah wujud setakat ini dan sedikit sebanyak membuntukan ibu bapa terbabit.
Dalam pada itu, Dr. Ruzita berkata, pusat-pusat tersebut dipercayai dapat membantu anak-anak istimewa berkenaan mempelajari bagaimana untuk mengurus diri mereka dan tidak terus bergantung kepada orang lain.
“Walaupun mereka autisme tetapi anak-anak itu aset kerana ada antara mereka yang memang berpotensi untuk berjaya dan menyumbang kepada negara. Sekarang pun sudah ramai pelajar autisme yang sudah berjaya menyambung pengajian mereka hingga ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD),” katanya.
“Jadi itu membuktikan mereka boleh juga maju dan berjaya seperti mana orang lain, kalau kita tidak bantu mereka dari awal maka memang sukar untuk kita jamin masa depan mereka,” katanya. – UTUSAN










