MARANG: Arahan penutupan pintu pagar selepas pukul 10 malam di semua 810 balai polis seluruh negara tidak wajar dijadikan isu oleh sesetengah pihak tidak bertanggung jawab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan yang dikeluarkan adalah jelas ketika menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, arahan penutupan pintu pagar balai polis sebelum ini juga sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan terutama di premis yang diklasifikasi berisiko tinggi.
“Istilah yang saya sebut semalam ialah tutup pintu pagar balai polis, bukan menutup operasi balai. Bahasa yang sangat mudah difahami tetapi ada pihak putar belit sangat luar biasa.
“Terdapat 810 balai polis serta 157 ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negara dan ada yang berisiko tinggi, malah arahan tutup pintu pagar selepas pukul 10 malam tidak menjejaskan tugas hakiki pihak polis.
“Jika ada orang awam yang datang untuk membuat aduan (selepas 10 malam), anggota bertugas akan membuka pintu pagar dan operasi di balai masih seperti biasa,” katanya.
Saifuddin Nasition berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di IPD Marang, di sini, hari ini.
Semalam, beliau menjawab soalan Richard Riot Jaem di Dewan Rakyat mengenai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan keselamatan selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei.
Menurut Saifuddin Nasution arahan penutupan pintu pagar selepas 10 malam boleh menghalang kejadian itu daripada berulang apabila suspek menceroboh Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi – UTUSAN










