PETALING JAYA: Suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang disambung reman tujuh hari pada Selasa lalu akan dituduh esok atas kesalahan membunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, suspek yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru.
“Ya, suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya secara ringkas.
Sebelum ini media melaporkan Nur Farah Kartini dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.
Jumaat lalu, usaha pencarian bahan bukti berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan lagi di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Media sebelum ini melaporkan beg tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Trolak ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan.
Lokasi ini terletak kira-kira 20 minit daripada parit dekat kawasan hutan kelapa sawit dekat Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.
Pencarian yang dijalankan polis di kawasan parit berkenaan sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kehilangan mangsa dilaporkan pada 11 Julai susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas sehari menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim. – UTUSAN










