KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didenda sebanyak RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Low Yu Ning, 38, didakwa sengaja mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan mengakibatkan kematian iaitu Liew Yin Lun, 2, pada pukul 1 petang, 6 Disember 2021 di sebuah rumah di Jalan Danau Kota Off Genting Kelang, di sini.
Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhairi Mohd. Nor memohon agar mahkamah membenar dan mengesahkan rundingan akuan sebagai pelupusan kes yang memuaskan di bawah Seksyen 172(d) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Yun Ning ketika ditanya oleh hakim Dr. Azrul Abdullah dia membuat pengakuan tersebut dengan rela hati tanpa sebarang ugutan memasuki rundingan akuan serta faham kesan serta akibat terhadap rundingan itu.
Mahkamah selepas menjatuhkan hukuman penjara dan denda tersebut turut memerintahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan dan dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan cagaran RM2,000.
Sebelum ini Yun Ning didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak kerana menyebabkan kematian bayi.
Berdasarkan fakta kes, pada 6 Disember, lebih kurang 3.56 petang Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur telah menerima maklumat kecemasan bahawa terdapat satu kemaian membabitkan seorang bayi dan terdapat kesan lebam di badan mangsa.
Berdasarkan siasatan pihak polis, bayi tersebut telah diletakkan di dalam kerusi bayi di dalam satu bilik rumah tertuduh dan dibiarkan dalam bilik berkenaan tanpa jagaan. – UTUSAN










