Aisha Retno terkilan sikap dengki rakan industri - Utusan Malaysia

Aisha Retno terkilan sikap dengki rakan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa kecewa dengan sikap kurang senang segelintir rakan selebriti yang tidak berpuas hati terhadap pencapaiannya dalam industri seni.

Kata penyanyi berusia 23 tahun itu, dia tidak menyangka kemampuan diri sendiri yang dipamerkan turut mengundang rasa dengki individu lain yang dianggap sebagai sahabat satu industri.

“Tekanan memang ada, lebih-lebih lagi bila orang meletakkan harapan kepada kita. Perkara itu bukan sahaja saya terima daripada netizen, tetapi juga individu dalam industri seni yang menunjukkan sisi kedengkian mereka.

“Perkara itu semakin lama, semakin ketara. Saya hanya tunjukkan kemampuan (nyanyian), tak sangak pula ada yang tak puas hati,” katanya selepas pentas akhir The Hardest Singing Show (THSS), semalam.

Kata Aisha lagi, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan lebih-lebih lagi sepanjang berlangsungnya THSS sejak 10 minggu lepas.

“Gangguan mereka bukan secara terang-terangan tetapi mereka ada misi. Saya tak berani cakap mereka cuba jatuhkan atau apa. Tetapi jelasnya mereka menjauhkan diri daripada saya.

“Gangguan begini memang menjejaskan. Saya pula memang tak suka drama.

“Yang saya alami ini menyakitkan mental dan fizikal ditambah pula dengan keletihan yang ditanggung,” ujarnya.

Katanya lagi, keadaan itu membuatkannya rasa terkilan dan terkejut kerana individu tersebut pernah menjadi idolanya sebelum ini.

“Saya sedih bila berlaku begini sebab tak sangka industri muzik Malaysia yang kecil begini pun ada perkara sebegini (dengki).

“Syukur saya dipagari dengan ibu bapa yang ada ilmu agama, minta dijauhkan perkara sebegitu (sihir),” ujarnya yang bertegas enggan mendedahkan individu tersebut.

Berkongsi tentang THSS, dia tetap bersyukur dan berpuas hati meskipun gagal meraih kedudukan tiga teratas.

“Saya memang puas hati dengan persembahan final. Banyak yang telah saya buktikan menerusi pertandingan ini.

“Semua finalis ini hebat-hebat belaka dan Aepul Roza memang layak jadi juara,” tuturnya.

Semalam, Aisha yang merupakan salah seorang peserta THSS diumumkan sebagai pemenang tempat keempat.

Kemenangan tersebut memberinya wang tunai RM5,000, pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×