AEON meterai perjanjian kolektif pertama dengan kesatuan pekerja - Utusan Malaysia

AEON meterai perjanjian kolektif pertama dengan kesatuan pekerja

Kesatuan Pekerja Aeon
NAOYA Okada (belakang, kiri) dan Steven Sim Chee Keong bersama kepemimpinan Aeon menyaksikan pemeteraian perjanjian antara syarikat itu dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Aeon yang pertama di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik rangkaian pusat beli belah Aeon Mall, Aeon Co. (Malaysia) Berhad (Aeon) menandatangani perjanjian kolektif pertama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Aeon bagi tahun 2024-2026, hari ini.

Pengarah Urusannya, Naoya Okada berkata, perjanjian tersebut adalah salah satu pencapaian penting Aeon ketika menyambut ulang tahun ke-40 yang memperlihatkan komitmen syarikat menjaga kebajikan pekerja.

“Inisiatif Aeon dalam melaksanakan perjanjian ini membuktikan AEON sebagai majikan yang bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang inklusif.

“Kami juga akan terus memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan pekerja, memastikan persekitaran yang selamat dan berkembang maju untuk semua,” katanyaketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif 2024-2026 antara kedua pihak yang disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsugutoshi Seko dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Aeon, Hamidah Mohamad.

Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia Aeon, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, perjanjian tersebut akan mengukuhkan lagi persefahaman antara pihak syarikat dan pekerja.

“Dalam melaksanakan komitmen untuk terus berdaya saing dalam industri peruncitan negara, Aeon tidak akan meminggirkan kebajikan pekerja. Kami sedar pekerja adalah aset yang bernilai.

“Perjanjian itu sekaligus akan menggalakkan kerjasama dan sokongan lebih baik untuk mencapai usaha Aeon menjadi syarikat peruncitan Malaysia yang menawarkan pengalaman membeli-belah yang istimewa kepada setiap pelanggan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×