Ada kelemahan umum calon PRU awal - Utusan Malaysia

Ada kelemahan umum calon PRU awal

MAHDZIR Khalid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: UMNO Kedah tiada masalah untuk mengenal pasti calon Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang layak lebih awal, namun menganggap cadangan itu ada kelemahan tersendiri.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan namun memerlukan persediaan yang teliti terutama dari segi calon yang akan bertanding.

“Ada pro (kelebihan) dan kontra (kelemahan). Dari segi kontranya, kita nak kena ‘kepung’. Ibaratnya, kalau sudah bagi nama itu kena duduk dalam ‘talam’. Kalau dua tahun kena macam itulah.

“Dia tidak buat jahat apa pun tetapi dia kena jaga, nak jalan pun tak boleh silap. Kalau kereta habis minyak pun, orang tentu akan cakap tengoklah itu macam itu nak jadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa UMNO perlu mengenal pasti pemimpin yang boleh diangkat sebagai calon PRU16 dari sekarang.

Katanya, langkah itu akan membolehkan calon berkenaan mula menabur bakti di kawasan masing-masing sekali gus memenangi hati pengundi.

Tambah Mahdzir, UMNO Kedah juga sememangnya sudah memulakan gerak kerja untuk mengenal pasti calon walaupun tidak dilakukan secara sepenuhnya buat masa ini.

“Kita belum bersedia lagi tetapi kita tengah tengok-tengok sesiapa yang sesuai. InsyaAllah, yang penting musim sekarang ini yang orang nak bukan dari segi parti sahaja tetapi juga ‘silent voter’ kerana yang nak memenangkan calon bukan ahli sahaja tetapi orang awam.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan tentang mengumumkan calon awal ini sebab kita ada G5 dan selepas itu kita ambil masa sedikit untuk kenal pasti. Buat sedikit kajian dan bagi kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN