PETALING JAYA: Dianggarkan sejumlah sembilan billion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang rakyat Malaysia setiap tahun, sekali gus merekodkan negara berada di tangga kelima tertinggi di dunia yang menyumbang kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.
Menerusi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022, mendapati daripada 210,966 sisa plastik yang dihasilkan, hanya 33.16 peratus dikitar semula.
Perkara ini menyebabkan Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut iaitu dengan kadar 2.29 kilogram (kg) plastik perkapita digunakan rakyat setiap tahun. Pencemaran laut itu turut menjejaskan terumbu karang di negara ini yang disahkan sedang mengalami kelunturan secara besar-besaran.
Tinjauan Jabatan Laut dari April hingga Jun menunjukkan lebih 50 peratus terumbu karang terutamanya di Kepulauan Taman Laut seperti Pulau Payar (Kedah), Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol (Terengganu), Pulau Tioman (Pahang) dan Pulau Pemanggil (Johor) semakin terjejas.
Kempen tiada penggunaan beg plastik yang dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air sejak lebih 10 tahun lalu dengan sokongan dan kerjasama negeri-negeri seperti Selangor yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik, manakala Putrajaya, Pulau Pinang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan mengharamkan penggunaan bekas plastik, seolah-olah tidak memberi sebarang kesan.
Ketua Makmal di Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, penggunaan plastik dalam kalangan rakyat sudah menjadi amalan dan tidak terkawal.
Menurut beliau, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan setiap tahun dan sebahagian besarnya berakhir di lautan sehingga menyebabkan berlaku pencemaran dan mengancam nyawa haiwan marin.
“Antara penyumbang pencemaran yang kritikal ke atas ekosistem laut ialah sisa plastik, haiwan marin berdepan risiko kepupusan angkara sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kelestarian alam sekitar.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana sisa plastik yang hanyut di lautan akan membahayakan dan mengancam nyawa hidupan marin yang memakan partikel berkenaan yang disangka sebagai makanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menerusi data dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menunjukkan di seluruh dunia, satu juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun dan separuh darinya direka untuk tujuan sekali guna.
Mengulas lanjut, Dr. Haliza berkata, kira-kira 400 juta tan sisa plastik dijana setiap tahun di seluruh dunia dan tujuh billion tan sisa plastik dijana secara global, bagaimanapun kurang dari 10 peratus yang dikitar semula.
“Jika trend pertumbuhan berterusan, pengeluaran global plastik primer diramalkan mencecah 1,100 juta tan menjelang 2050. Kira-kira 36 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan adalah digunakan dalam pembungkusan, termasuk produk plastik sekali guna untuk bekas makanan dan minuman.
“Dianggarkan 85 peratus daripada plastik ini berakhir di tapak pelupusan sampah atau sebagai sisa tidak terkawal,” jelasnya.
Beliau berkata, pemahaman terhadap usaha-usaha dan pelan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan penggunaan plastik mencapai sifar masih lemah dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, kajian menunjukkan kesedaran mengenai usaha dilakukan kerajaan adalah hanya 44 peratus yang mengetahui tentang pelan tindakan tersebut, manakala hanya 64 peratus mengetahui larangan penggunaan penyedut minuman plastik.
“Sementara itu, hanya 56 peratus rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu plastik sekali guna,” katanya.
Tambahnya, isu lambakan plastik memerlukan kerjasama daripada pihak industri iaitu pengeluar.
“Membiarkan korporat dan syarikat meneruskan perniagaan mereka seperti biasa, hanya akan mempromosikan penyelesaian palsu kepada krisis sisa plastik dan pencemaran plastik akan berterusan.
“Untuk mengatasi pencemaran plastik, kita memerlukan kerajaan untuk memacu perubahan termasuk menggubal dan melaksanakan dasar untuk menghadkan pengeluaran plastik, memastikan syarikat beralih daripada produk dan pembungkusan plastik kepada alternatif yang selamat.
“Pengeluar produk plastik mestilah dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang untuk mengumpulkan kembali produk mereka selepas digunakan dan untuk kitar semula atau guna semula. Pengeluar seharusnya memastikan bahawa aktiviti mereka tidak mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesejahteraan manusia,” katanya. – UTUSAN









