KUALA TERENGGANU: Terengganu merekodkan kedatangan sebanyak 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sekaligus berjaya mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu 4.5 juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan tersebut adalah hasil perancangan rapi kerajaan negeri dalam mempromosikan industri pelancongan di negeri itu selama ini.
Menurutnya, antara acara pelancongan berskala besar yang mendapat sambutan memberangsangkan ialah Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, ‘Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024’ dan Scooterian Mega Gathering 2.0.
“Kita guna pelbagai indikator untuk merekodkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang datang ke Terengganu.
“Berdasarkan statistik yang diperolehi, sebanyak 861,282 pelancong telah mendaftar masuk ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pelancong lagi datang ke lokasi pelancongan tidak bertiket di seluruh Terengganu.
“Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain penginapan pula ialah seramai 318,067 ribu orang dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di rumah inap desa yang tidak berdaftar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, kemasukan pelancong melalui pintu masuk utama ke negeri Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang pula merekodkan kehadiran pelancong lebih lima juta orang.
“Daripada keseluruhan jumlah data pengguna LPT2 sebanyak 5,577,063 juta, kita menolak sebanyak 50 peratus dengan mengambil kira ia adalah laluan kerja dalam Terengganu, laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain faktor.
“Data ini menunjukkan Terengganu terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara disebabkan keindahan alam semula jadi yang masih tidak tercemar dan penganjuran acara yang sinonim dengan kebudayaan serta warisan rakyat Terengganu,” katanya.
Ditanya mengenai persepsi bahawa cadangan pengasingan lelaki dan wanita di La Hot Spring, Hulu Besut serta etika pemakaian di Terengganu akan menjejaskan kedatangan pelancong pula, Razali berkata, data yang direkodkan setakat ini menunjukkan persepsi itu tidak tepat.
“Kekuatan kita adalah produk pelancongan itu sendiri dan perkara-perkara lain seperti etika pakaian serta pengasingan jantina adalah perkara yang sudah difahami ramai dan tidak lagi menjadi isu,” katanya. – UTUSAN










