226 pelajar cemerlang SPM Sungai Buloh terima insentif

226 pelajar cemerlang SPM Sungai Buloh terima insentif

Ramanan menyampaikan bantuan Kecemerlangan kepada pelajar cemerlang SPM Parlimen Sungai Buloh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah meraikan 226 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM100,250 bagi menghargai prestasi cemerlang mereka.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, objektif inisiatif ini adalah bagi membantu meningkatkan akademik.

“Acara ini memotivasikan mereka untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Saya hargai sokongan padu dan tidak berbelah bahagi yang diberikan YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan.

“Saya amat berharap usaha murni sebegini dapat diteruskan lagi di seluruh negara dan sekaligus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara ke arah peringkat seterusnya. Saya juga akan pastikan program ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bantuan Kecemerlangan SPM Parlimen Sungai Buloh di Dewan Meranti Sungai Buloh, di sini hari ini.

Majlis tersebut diadakan secara dua fasa, minggu lalu di Kota Damansara dan hari ini di Paya Jeras.

Turut hadir Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Zamri Salleh yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Sementara itu, Philip pula berkata, insentif yang diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang diharap jadi pemangkin untuk kekalkan momentum dalam pendidikan serta menguatkan semangat mencapai keputusan cemerlang dan secara tidak langsung meningkatkan modal insan negara.

“Inisiatif hari ini bukti bahawa pihak YBR bukan sahaja menghulurkan bantuan malah kami juga turut memberi pengiktirafan terhadap kejayaan yang dikecapi para pelajar,” katanya.

226 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Parlimen Sungai Buloh telah menerima peruntukan berjumlah RM100,250 bagi menghargai prestasi cemerlang pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan yang terdiri daripada tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buloh, SMK Bukit Gading, SMK Bukit Rahman Putera, SMK Saujana Utama, SMK Subang, SMK Subang Bestari dan SMK Seksyen 10 Kota Damansara.

Seramai 106 pelajar peroleh 7A, 64 orang mendapat 8A, 47 orang mendapat 9A, lapan orang mendapat 10A dan seorang 11A. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN