KUALA NERUS: Seramai 200 murid dari 50 buah sekolah terpilih di Terengganu akan terlibat dalam program pendidikan alam sekitar, Eco-Schools anjuran Yayasan Petronas dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program
Eco-Schools diperkenalkan untuk memupuk kesedaran alam sekitar dan menggalakkan penyertaan aktif pelajar di negeri itu sejak usia yang masih muda.
Beliau berkata, program Eco-Schools Terengganu itu turut melibatkan kerjasama Yayasan Green Growth Asia (GGAF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.
“Melalui program ini, murid yang terpilih itu diperkasakan sebagai ejen yang proaktif melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran alam sekitar di dalam kurikulum sekolah.
“Yayasan Petronas sentiasa komited menyokong usaha untuk membentuk generasi yang menghargai dan melindungi warisan semula jadi.
“Justeru Program Eco-Schools Terengganu ini telah digubal khas melalui integrasi elemen kemampanan yang sesuai ke dalam sukatan mata pelajaran di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Program Eco-Schools Terengganu, di sini, hari ini.
Buat permulaan, program itu melibatkan dua buah sekolah berkeperluan khas iaitu Sekolah Pendidikan Khas Besut dan Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.
Sementara itu, Abdul Muie berkata, inisiatif itu adalah bertujuan membuka peluang yang lebih luas kepada semua pelajar untuk turut sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
“Program Eco-Schools Terengganu adalah keupayaan usaha kolektif dalam menangani cabaran alam sekitar.
“Dengan memberi fokus kepada pendidikan alam sekitar, kita bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi peserta aktif dalam memulihara planet kita,” katanya. – UTUSAN










