PETALING JAYA : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 12 pekerja warga asing di sebuah stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan di sebuah lebuh raya, di sini kelmarin.
Menerusi operasi pada pukul 12 tengah hari itu dilakukan 17 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja di premis itu disyaki tidak memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kata beliau, lokasi serbuan adalah premis stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan.
“Dalam operasi ini, 12 warga asing berusia 25 hingga 35 tahun diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki pas atau dokumen sah dan melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Kata beliau, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),”jelasnya. – UTUSAN








