KOTA KINABALU: Seramai 114 orang mangsa banjir daripada 42 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah setakat pukul 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Kebudayaan Penamoang dan di Dewan Sri Putatan yang mula dibuka antara pukul 5.25 petang dan 1 pagi tadi.
Pemindahan mangsa banjir terus meningkat susulan banyak kampung terjejas akibat hujan lebat sejak tengah hari semalam. Bagaimanapun, paras air sungai ketika ini menurun kepada tahap 8.78.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah memaklumkan pasukan bomba masih menjalankan pemindahan dan pemantauan banjir di kawasan-kawasan berisiko.
Di daerah Penampang antara kampung yang terjejas ialah Kampung (Kg) Inopok, Kg Kolopis, Kg Limbanak, Kg Tuavon, Kg Kibabaig, Kg Penampang Proper, Kg Sugud, Kg Kibatu, Kg Kasigui, Kg Timpoluon, Kg Inobong, Kg Moyog dan Kg Nampasan.
Selain dua daerah tersebut, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di kawasan di Inanam dan Manggatal dan Tuaran semalam.
Hujan lebat juga menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan jalan terputus turut dilaporkan berlaku di Jalan KK-Keningau-Tenom dan Jalan Madsiang Kopouvo yang menyebabkan jalan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.- UTUSAN










