ALOR SETAR: Sedekad berlalu sejak tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai 2014, ibu kepada seorang mangsa, Allahyarham Azrina Yakob masih menaruh harapan agar dalang di sebalik jenayah itu mendapat hukuman seadil-adilnya.
Habibah Ismail, 75, berkata, walaupun reda dengan kematian anak sulungnya itu dalam insiden yang tragis, namun seperti kebanyakan waris lain penantian mereka berhubung penjenayah dalam tragedi itu harus segera tamat.
“Siapa yang berada di tempat ini tahu apa rasanya apabila anak kita hilang seperti itu. Walaupun sudah terima hakikat namun jauh di sudut hati saya mahu lihat dalangnya menerima hukuman seadil-adilnya.
“Sebelum mata terpejam selamanya seperti arwah suami, saya masih harap mendapat kepastian. Setiap tahun, ada pelbagai berita, beri harapan dan sebagainya namun tiada penyelesaian dan itu amat menghiris perasaan kerana kesedihan ini diulang-ulang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kelompang, di sini, semalam.
Dalam tragedi itu, Azrina ketika itu berusia 41 tahun yang juga ketua pramugari syarikat penerbangan tersebut, adalah salah seorang daripada 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine.
Tahun lepas, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat itu.
Pada 17 Mac tahun lepas, Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi dan memutuskan untuk mendengar kes terhadap Rusia berhubung insiden itu.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan terus mengambil tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung tragedi tersebut.
Habibah berkata, walaupun sudah 10 tahun kejadian itu, hatinya masih sayu malah tidak henti-henti mengalirkan air mata setiap kali teringatkan Azrina.
“Baru-baru ini kakaknya, Azlin terjumpa gambar arwah yang bertudung ketika menunaikan umrah. Luluh hati saya lihat gambar itu buat kali pertama seolah-olah dia masih hidup.
“Begitu juga setiap kali ternampak makanan kegemaran arwah hati terdetik ‘ini Azrina suka sangat’. Terlampau sebak mungkin sebab arwah ‘pergi’ sedemikian rupa.
“Saya juga masih terasa pelukannya ketika kali terakhir bertemu dua minggu sebelum kejadian. Waktu itu bulan Ramadan dan saya merancang ke Vietnam bersama kakaknya dan arwah pulang untuk kirim wang saku,” katanya.
Habibah juga masih teringat beberapa jam sebelum pesawat itu ditembak, Azrina ada menelefon adiknya, Mohd. Firdaus, 37, yang memberitahu dia tidak sabar untuk pulang ke kampung pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun itu. – UTUSAN











