KUALA LUMPUR: Polis menyiasat video tular membabitkan seorang pemandu e-hailing yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Malaysia kepada pelancong asing baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang melihat video tersebut di aplikasi TikTok semasa berada di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru, semalam.
Katanya, lelaki itu mendakwa video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok ‘Samisma_News & AATV Rakyat News’ memaparkan seorang pemandu e-hailing didakwa menghina agama Islam serta memburukkan Malaysia kerana tidak berpuas hati kerana negara ini mengharamkan arak serta bermain judi.
“Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik pada pukul 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.
“Semakan akan dibuat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun dan mengenal pasti pemandu e-hailing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu, katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam tular dalam laman sosial sebuah video dipercayai dirakam pelancong warga asing yang memaparkan pemandu e-hailing berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berbual dengan pelancong terbabit ketika menggunakan perkhidmatannya.
Difahamkan dia mempertikai Islam sebagai agama rasmi dan mendakwa kebebasan tersekat termasuk larangan berjudi dan minum arak.- UTUSAN










