Untung suku pertama Petronas RM21.3 bilion

Untung suku pertama Petronas RM21.3 bilion

PETRONAS merekodkan pendapatan sebanyak RM89.7 bilion daripada RM89.3 bilion pada suku pertama 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai Petroliam Nasional Berhad (Petronas) jatuh kepada RM21.3 bilion pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM23.8 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, berikutan ketidaktentuan berpanjangan dalam landskap harga.

Bagi suku yang sama, syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak RM89.7 bilion daripada RM89.3 bilion pada suku pertama 2023.

Petronas berkata, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) menurun sebanyak RM2.1 bilion kepada RM23.4 bilion bagi suku tinjauan sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.

Perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM10.7 bilion terutama dikaitkan dengan projek gas dan huluan, termasuk projek gas asli cecair (LNG) Kanada yang sedang dijalankan, La Amarga Chica di Argentina serta projek LNG Terapung Berdekatan Pesisir dan Kemudahan Penyerapan CO2 Kasawari di Malaysia.

Pelaburan capex domestik meningkat sebanyak 20 peratus dan jumlah aset bertambah kukuh kepada RM796.3 bilion pada 31 Mac 2024.

Ekuiti pemegang saham merosot kepada RM434.4 bilion pada 31 Mac 2024, di­sebabkan oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, memandangkan pihaknya menjangkakan berdepan ketidaktentuan yang semakin sukar untuk sepanjang tahun ini, Petronas akan memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadunya untuk pelaburan semula dengan pantas dan berdisiplin.

“Kumpulan kekal teguh dalam pendekatannya untuk menjana pertumbuhan yang menguntungkan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Pada setiap masa, Petronas akan terus melaksanakan pe­ngurusan berhemat bagi komitmen kewangan dan obligasi hutangnya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Petronas berkata, pasaran minyak dan gas terus terjejas oleh ketidakstabilan makroekonomi dan dinamik geopolitik di tengah-tengah peralihan tenaga pada suku pertama 2024 yang membawa kepada landskap harga yang tidak menentu yang berpanja­ngan.

“Petronas berusaha menge­kalkan nilainya dan terus komited untuk memastikan keselamatan tenaga untuk pe­langgan di dalam dan di luar Malaysia melalui pengurusan kos strategik, portfolio teguh yang mapan dan pengurusan mudah tunai yang berhemat.

“Kumpulan akan terus me­laksanakan segala usaha untuk menangani ketidaktentuan pasaran yang semakin mening­kat, sambil bersaing dengan jangkaan pihak berkepenti­ngan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN