UMNO letak calon jika PRK Gua Musang, Jeli

UMNO letak calon jika PRK Gua Musang, Jeli

ZAWAWI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Kelantan akan meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Jeli dan Gua Musang jika kerusi tersebut dikosongkan oleh Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman berkata, hal ini kerana kedua-dua kawasan itu merupakan kerusi UMNO.

“Pada masa sama, jika PRK berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri (Gua Musang) kita (UMNO) akan turut bertanding.

“Jadi saya harap, Kerajaan Perpaduan dapat memberi peluang ke kita (UMNO dan Barisan Nasional) untuk bertanding di ketiga-tiga kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini semalam.

Zawawi memberitahu, melihat kepada situasi ketika ini beliau yakin UMNO mampu merampas semula kerusi tersebut.

Katanya, rakyat sudah bijak dalam membuat pilihan siapa yang mampu membela nasib mereka nanti.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memaklumkan segera kekosongan tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti mana termaktub di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional (SCPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya berpendirian bahawa tujuh wakil rakyat terbabit telah terhenti keahlian Bersatu selepas 31 Mei lalu apabila gagal mematuhi arahan parti bagi menyatakan ke­setiaan dalam masa 14 hari se­perti diperuntukkan oleh Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

SCPP menjelaskan, apabila ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan atau tidak lagi menjadi ahli Bersatu, kerusi disandang perlu dikosongkan seperti diperuntukkan oleh undang-undang antilompat parti dan perlembagaan Bersatu.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan seorang ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×