PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuhkan rangkaian bersama rakan strategik menerusi penganjuran sukan Golf Sahabat UDA 2024 di Impian Golf & Country Club, Kajang, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Surveyor Mohd. Salem Kailany berkata, acara ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang telah memberi sokongan kepada UDA terutama dalam kalangan pemain golf.
“Sukan golf merupakan sukan dan aktiviti riadah yang sihat serta dapat membina hubungan positif dan semangat keakraban dalam kalangan para pemain golf sekalian.
“Saya harap hubungan di padang pagi ini dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara semua pihak,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman yang ada pada UDA selama lebih lima dekad yang memfokuskan empat teras perniagaan iaitu hartanah, pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti di seluruh negara, menguatkan lagi semangat UDA untuk terus berbakti dalam industri pembangunan hartanah dan pengurusan aset negara.
“Kepercayaan kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakan-rakan media juga merupakan antara faktor kecemerlangan UDA dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan kami,” jelasnya.
Menurutnya, seramai 84 peserta daripada KUSKOP, agensi-agensi di bawah KUSKOP, PBT, rakan korporat dan media mengambil bahagian dalam acara golf persahabatan yang berlangsung di Impian Golf & Country Club, Kajang itu. – UTUSAN










