KUALA LANGAT: Bidang kemahiran teknikal dan vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET tidak semestinya berkaitan dengan mekanikal, robotik atau automotif semata-mata sebaliknya ia juga meliputi sektor penghasilan kraftangan dan barangan perhiasan.
Ketua Jurusan Seni Kraf Logam Institut Kraf Negara (IKN), Mohd. Sazali Mohd. Yusop berkata graduan dalam bidang kesenian kraf juga boleh menggunakan kemahiran mereka dalam sektor industri pembuatan.
“IKN bukan sahaja tertumpu dalam bidang kraf sahaja, ada dalam sektor kerajaan dan swasta. Sebab graduan IKN bukan tertumpu kepada skop kraf sahaja, ia boleh gunakan tiket itu untuk kerja dalam pelbagai sektor.
“Ada juga graduan IKN dalam bidang seramik dia membuat model dinosaur daripada tanah liat dan produknya itu mendapat perhatian dan permintaan di Jepun,” katanya kepada pemberita di reruai pamerannya pada Sambutan Hari TVET Negara 2024, semalam.
Jelasnya, kemahiran dalam bidang kraf logam membuka peluang pekerjaan luas selain sektor industri seperti pembuatan barangan berasaskan logam perak serta barangan kemas yang diperbuat daripada emas.
“Tidak ramai yang tahu kerana ia tidak diuar-uarkan. Berkemahiran dalam bidang kraf logam membolehkan mereka menjadi usahawan atau bekerja di kedai emas sebagai pembuat barangan kemas dengan rekaan yang dihasilkan mereka sendiri,” ujarnya.
Hampir 50 pempamer menyertai program tersebut terdiri daripada pemain industri dan institusi TVET dalam pengisian lima hab yang meliputi pameran TVET, seminar, pameran dan karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.
Dalam pada itu, Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar IKN, Zurainah Umor memberitahu, kursus yang ditawarkan di IKN adalah diiktiraf di peringkat diploma dan sijil, membolehkan graduan menyambung pengajian lebih tinggi dalam bidang berkaitan yang diminati.
“Kraf ini dahulu dipandang sebagai kerja kampung, sekarang kita naik taraf ia, maknanya kita berikan kemahiran dan dalam masa sama beri peluang kerjaya dan keusahawanan kepada mereka. Kita ada semua kelas berkaitan kraf dan keusahawanan sebab ia adalah program peringkat diploma.
“Permintaan seperti bidang canting batik memang tinggi sebab ada pemintaan terhadap produk batik. Begitu juga macam rotan dan logam. Pelajar kita, kalau hendak masuk peluang kerja di sektor penghasilan barang kemas pun tak ada masalah.
“Kita memang ada ramai yang berjaya dalam bidang kraf sama ada pekerjaan ataupun keusahawanan. Kalau sektor batik lebih kurang 80 peratus graduan terlibat dalam keusahawanan dan pekerjaan,” jelasnya. – UTUSAN










