Tujuh dekad ke sekolah naik kereta api

Tujuh dekad ke sekolah naik kereta api

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong menunggu ketibaan kereta api di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seawal pukul 6.15 pagi, seorang demi seorang pelajar dari Kampung Kuala Gris, Gua Musang akan berjalan ‘membelah kabus’ menuju ke hentian kereta api untuk ke sekolah.

Walaupun hanya bertemankan lampu jalan, anak-anak Kuala Gris dilihat ‘kental’ menempuh cabaran itu semata-mata mahu menyambung pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong.

Suka atau tidak itulah pilihan buat pelajar ini apabila mereka perlu bangun awal pagi atau berdepan kemungkinan terlepas kereta api.

Hal ini kerana, kereta api menjadi satu-satunya pengangkutan awam dari kampung untuk ke sekolah.

TIGA sahabat memanfaatkan masa yang ada diatas kereta api dengan mengulang kaji pelajaran sebelum tiba ke Stesen Dabong dan seterusnya ke SMK Dabong, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN

Jika tertinggal kereta api, ibu bapa perlu menghantar anak masing-masing ke sekolah dengan menaiki motosikal sejauh 14 kilometer atau kira-kira 20 minit perjalanan.

Selain Kuala Gris, situasi itu dapat dilihat apabila anak-anak penduduk di Bukit Abu, Slow Pok Long dan Ulu Temiang dekat sini turut bergantung harap kepada kereta api sejak tujuh dekad lalu.

Bagi Muhammad Hazami Saufi, 14, setiap hari dia akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk membersihkan diri, bersiap dan menunaikan solat subuh sebelum turun dari rumah untuk ke sekolah.

Katanya, walaupun terpaksa bangun awal pagi namun ia bukan satu bebanan malah sudah sebati dengan dirinya.

“Setiap hari saya akan pastikan pukul 6.30 pagi sudah berada di Hentian Kuala Gris untuk menunggu kereta api.

“Perjalanan untuk ke sekolah mengambil masa selama 15 minit. Jadi sepanjang tempoh itu saya akan mengulang kaji pelajaran sebelum melangkah masuk ke sekolah,” ujarnya.

Bagi Siti Nuraini Mohd. Rawi, 15, pula dia sudah biasa menggunakan perkhidmatan kereta api yang merupakan pengangkutan utama penduduk Kampung Kuala Gris.

Katanya, hal ini kerana dia sudah diajar sejak kecil lagi untuk menggunakan perkhidmatan kereta api termasuk ke bandar Kuala Krai.

“Selain Kuala Gris, pelajar dari Kampung Slow Temiang, Slow Pok Long dan Bukit Abu turut menggunakan kereta api.

“Sepanjang perjalanan ke sekolah, biasanya saya akan berbincang dan bertukar pandangan mengenai mata pelajaran pada hari tersebut,” ujarnya.

Anisa Maruzi, 13, memberitahu, biasanya kereta api akan tiba di Hentian Kuala Gris pada pukul 7 pagi.

PELAJAR selamat tiba di Stesen Dabong sebelum berjalan ke SMK Dabong, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Katanya, perjalanan kereta api sambil ditemani pemandangan hijau amat menyeronokkan walaupun sudah masak dengan keadaan sekeliling.

“Perjalanan menggunakan kereta api sangat menjimatkan kerana bayarannya sangat murah,” katanya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Kuala Gris, Marhadi Mohamed berkata, kereta api merupakan pengangkutan utama pelajar di sini untuk ke sekolah sejak sekian lama.

Katanya, hal ini kerana tiada perkhidmatan pengangkutan darat seperti bas disediakan untuk sekolah.

“Biasanya pelajar akan ke sekolah menggunakan perkhidmatan ini pada pukul 7 pagi dan pulang 3 petang.

“Rata-rata pelajar di sini sudah biasa dengan perkhidmatan kereta api yang merupakan pengangkutan utama mereka sejak masih kecil lagi,” ujarnya.

KAKITANGAN Kereta Api Tanah Melayu Berhad memeriksa tiket pelajar ke SMK Dabong, Kuala Krai, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

 

 

Marhadi berkata, lebih 70 pelajar dari empat buah kampung di kawasan pedalaman jajahan ini iaitu Kuala Gris, Bukit Abu, Slow Pok Long dan Ulu Temiang di sini menjadikan kereta api sebagai nadi pengangkutan utama untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong bagi menuntut ilmu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN