Tuduhan pukul bekas isteri terlalu berat, Radhi enggan selesai luar mahkamah - Utusan Malaysia

Tuduhan pukul bekas isteri terlalu berat, Radhi enggan selesai luar mahkamah

PETALING JAYA 11 JUN 2024 - Radhi OAG hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menyambung perbicaraan kes mencederakan bekas isterinya, di sini hari ini. GAMBAR-MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Harap selesai cara baik.”

Itu harapan diluahkan vokalis kumpulan OAG, Radhi berhubung dakwaan  mencederakan bekas isterinya pada April 2022.

Radhi yang hadir di mahkamah Petaling Jaya pagi ini memilih untuk meneruskan perbicaraan kes itu di mahkamah sementelah kedua pihak gagal mencapai kesepakatan untuk selesaikan kes tersebut luar mahkamah.

“Sebelum ini memang sepatutnya dia tarik kes, tapi dia batalkan sebab saya tak setuju bayar sejumlah wang yang dituntut untuk selesai luar mahkamah.

“Tuduhan ini (pukul bekas isteri) terlalu berat. Jadi hari ini perbicaraan diteruskan sampailah saya naik kandang saksi,” katanya.

Radhi atau nama penuh, Muhammad Radhi Razali, 46, berhadapan tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di tempat letak kereta Emporis Menara D Kota Damansara, dekat sini, pada pukul 2.29 petang, 19 April 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Nur Shahira Ayu sebelum ini dilaporkan bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

Dia pada 21 Jun 2023, dilaporkan meminta bayaran RM300,000 susulan persetujuan mereka menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Wanita berkenaan dipetik berkata, Radhi dibenarkan melunaskan bayaran penuh atau RM1,000 sebulan untuk menampung keperluan anak.

Bekas suaminya itu bagaimanapun menafikan bersetuju untuk membayar jumlah tersebut untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Penyanyi itu juga menafikan bersetuju menyerahkan RM5,000 dan RM500 kepada Nur Shahira, namun tidak menolak ada membincangkan perkara itu dengan peguamnya dan wanita berkenaan.

Majistret bagaimanapun mengesahkan tiada penarikan laporan polis dibuat sehingga hari ini.

Radhi dalam pada itu memaklumkan anak-anaknya, Muhamad dan Nur Aisyah buat sementara waktu diletakkan di bawah bekas mak mentuanya.

Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 namun pasangan itu memutuskan untuk bercerai pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×