PETALING JAYA: Sebarang tindakan undang-undang oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak memberi kesan kepada notis kekosongan luar jangka kerusi kawasan masing-masing.
Pensyarah Undang-Undang Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) tetap boleh mengemukakan tuntutan ke mahkamah untuk membuat tafsiran yang terdapat di dalam peruntukan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.
Bagaimanapun, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh terus bertindak berasaskan kepada notis dikeluarkan Speaker tanpa terikat dengan tindakan undang-undang yang dilaksanakan ketujuh-tujuh wakil rakyat terlibat.
“Negara kita mengamalkan sistem pengasingan kuasa antara badan perundangan termasuk Parlimen dan juga DUN.
“Keduanya, badan Eksekutif iaitu Perdana Menteri atau menteri besar dan anggota pentadbiran serta ketiganya, mahkamah.
“Dalam konteks ini mahkamah tidak boleh memberikan arahan atau mengeluarkan apa-apa arahan (kepada) Speaker yang menjadi sebahagian daripada anggota badan perundangan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, Bersatu sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen terlibat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Notis pemakluman kekosongan kerusi tersebut dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan sudah pun diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Setakat ini, DUN Kelantan sudah membuat keputusan berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri.
Susulan itu, Mohd. Azizi yang juga penyandang kerusi DUN Nenggiri dilapor melantik peguam bagi mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Ahad ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Fathi berkata, tindakan undang undang itu boleh diteruskan dan mahkamah pada masa sama boleh mengendalikan perbicaraan kes.
“Keputusan itu mungkin akan menentukan dari sudut tafsiran perlembagaan dan jika sekiranya tafsiran itu menyebelahi pihak yang membuat tuntutan, maka mahkamah boleh meminta kedudukannya dikembalikan.
“Ia sebagaimana yang pernah berlaku di dalam kes Nordin Salleh dan Wan Najib lawan DUN Kelantan pada 1993,” katanya. – UTUSAN










