Tiga pegawai ditahan, Kastam sedia kerjasama dengan SPRM

Tiga pegawai ditahan, Kastam sedia kerjasama dengan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap tiga pegawai agensi itu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.

Cawangan Perhubungan Awam JKDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung penahanan tiga orang pegawai mereka.

“Selaras dengan itu, JKDM ingin menegaskan sekali lagi bahawa pendirian pihak Jabatan ini adalah jelas dan tegas di mana tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.

“Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, pihak JKDM juga telah dan sedang mengambil langkah – langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu-pintu keluar dan masuk negara.

“JKDM berterima kasih kepada pihak SPRM dan akan sentiasa komited memberi kerjasama memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM dalam usaha memartabatkan nama baik jabatan dan perkhidmatan awam,”

jelas kenyataan itu.

Terdahulu, tujuh individu direman kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion.

Kesemua suspek yang merupakan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan dalam Op Transit lewat petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga pegawai agensi penguat kuasa, seorang pengarah syarikat dan tiga pekerja syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Katanya, perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga  9 Jun terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.

Hasil siasatan, dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga dan daripada tangkapan tersebut SPRM membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit.

Rabu lalu, hasil operasi yang dijalankan SPRM dan JKDM berjaya menahan 19 buah kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Daripada pemeriksaan yang dibuat, sebanyak lima kontena dibuka dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses. 

Kesemua kontena-kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan tandas duduk (commodes) bagi mengelak cukai. 

Anggaran kasar nilai 19 kontena yang ditahan termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi  mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. 

Kata beliau, SPRM juga akan menyiasat kes ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN