PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah tidak wajar pihak tertentu mengaitkan langkah penyasaran subsidi diesel dengan ucapan beliau ketika Pilihan Raya Umum Ke-12, 16 tahun lalu.
Perdana Menteri berkata, rakaman video yang menyebut “saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun” sengaja dimainkan semula untuk mengelirukan rakyat, sedangkan harga minyak ketika itu jauh berbeza dengan sekarang.
Jelasnya, pada ketika itu, harga minyak negara lebih tinggi berbanding negara- negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
“(Rakaman video) yang mengatakan saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun.
“Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.
“Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95, minyak murah ini hanya di Brunei,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun 2024 sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.
Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.
Keputusan kerajaan itu menjadi bahan serangan pihak tertentu untuk membantah usaha kerajaan selain menjadi bahan jenaka terutama di platform media sosial.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kedudukan negara antara kadar inflasi rendah di Asia tidak menjamin tiada kenaikan harga barangan meskipun beliau tidak inginkan perkara itu berlaku.
“Saya nak maklum kepada saudara, kita fikir betul-betul, sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak mahu kenaikan. Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit.
“Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kita (menyebut) Anwar kata barang tidak naik. Tak ada.
“Inflasi yang terendah di Asia maknanya kenaikan kecil masih berlaku,” katanya. – UTUSAN










