Tidak tepat sifatkan Mohd. Azizi dipecat

Tidak tepat sifatkan Mohd. Azizi dipecat

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tafsiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim bahawa beliau dipecat disifatkan tidak tepat kerana kedudukan beliau menurut perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk dalam kategori tidak lagi menjadi anggota parti.

Pensyarah Undang-Undang Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, kategori itu disesuaikan dengan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan serupa dalam undang-undang tubuh negeri-negeri.

Menurutnya, prinsip itu walaupun agak baru, namun ia berteraskan kepada satu ruang yang disediakan oleh peraturan anti lompat parti untuk membendung budaya lompat parti.

“Notis dikeluarkan Spea­ker De­wan Undangan Negeri (DUN) Ke­lantan itu menepati peruntukan Perlembagaan Negeri Kelantan yang selari dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Ia yang mana dalam Perlembagaan Kelantan juga menetapkan bahawa dua bentuk situasi menyebabkan seseorang wakil rakyat hilang kerusi akibat lompat parti iaitu pertamanya apabila seseorang itu mengisytiharkan keluar daripada partinya dan keduanya apabila dia tidak lagi menjadi anggota partinya.

“Dalam kes ini, ADUN berke­naan termasuk dalam kategori kedua iaitu beliau tidak lagi menjadi anggota Bersatu dan hilang keahlian ini berteraskan kepada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu serta kegagalan beliau memberikan jawapan sebagaimana dikehendaki perlembagaan Bersatu menyebabkan beliau tidak lagi menjadi anggota Bersatu dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kerusi dalam DUN,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Mohd. Azizi mahu memohon perintah injuksi dalam tempoh 60 hari susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri.

Beliau menyifatkan dirinya tidak terikat dengan Akta 49 A yang baharu digubal Bersatu selepas tidak pernah memohon menyertai parti lain.

“Bila dipecat oleh parti, saya menjadi ADUN Bebas dan tidak perlu mengosongkan kerusi (Nenggiri),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Fathi berkata, peruntukan hilang kerusi apabila tidak lagi menjadi anggota parti itu dapat mengelakkan mana mana wakil rakyat yang cuba lari dari dari sudut implikasi undang-undang.

Katanya, lari dengan tidak mengisytiharkan keluar parti, tetapi pada masa sama mengambil tindakan bertentangan de­ngan kehendak parti.

“Jadi apa yang berlaku ini sebenarnya sebagai satu jalan keluar kepada mana-mana wakil rakyat yang cuba untuk menggunakan kelompongan yang terdapat dalam kategori pertama iaitu mengisytiharkan keluar parti.

“Iaitu menjadikan mereka tetap tertakluk kepada undang-undang anti lompat dalam situasi mereka tidak keluar parti, tetapi bertindak bertentangan dengan kehendak parti,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Fathi berkata, sebarang tindakan undang-undang yang mahu dilakukan Mohd. Azizi tidak menghalang atau memberi kesan kepada notis kekosongan yang dikeluarkan Speaker DUN Kelantan.

Katanya, walaupun ADUN Nenggiri itu tetap boleh mengemukakan tuntutan ke mahkamah untuk membuat tafsiran yang terdapat di dalam peruntukan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri Kelantan, namun Suruhanjaya Pilihan Raya boleh terus bertindak berasaskan kepada notis dikeluarkan Speaker tanpa terikat dengan tindakan undang-undang yang dilaksanakan Mohd. Azizi.

“Cuma, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini, tindakan undang undang itu boleh diteruskan dan mahkamah boleh mengendalikan perbicaraan kes.

“Keputusan itu mungkin akan menentukan dari sudut tafsiran perlembagaan dan jika sekiranya tafsiran itu menyebelahi pihak yang membuat tuntutan, maka mahkamah boleh meminta kedudukannya dikembalikan sebagaimana yang pernah berlaku di dalam kes Nordin Salleh dan Wan Najib lawan DUN Kelantan pada 1993,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×