Tidak salah anjur program, umum peruntukan ketika PRK

Tidak salah anjur program, umum peruntukan ketika PRK

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa penganjuran program oleh kementerian dan pengumuman peruntukan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) bukanlah satu kesalahan.

Katanya, kenyataan beliau sebelum itu dibuat berdasarkan apa yang telah diputuskan pihak mahkamah sebelum ini.

“Saya tahu banyak cerita tentang kes-kes sebegini ketika zaman Tengku Razaleigh Hamzah (lagi) yang masa itu umum peruntukan projek jalan di mana beliau menang kes itu (di mahkamah).

“Duluan, kes ini mahkamah (putuskan) kerajaan berhak umum di mana dan pada bila-bila masa dan kepada sesiapa pun yang difikir sesuai, tidak kita waktu sama ada semasa PRK atau tidak PRK.

“Jadi, Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) buat kajian tentang kes (yang diputuskan mahkamah itu) dan pergi cabar (keputusan yang dibuat dahulu). Saya menyatakan hanya ikut keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perpaduan di tapak Pasar Malam Sungai Duri, di Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Semalam, media melaporkan Ahmad dikecam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana mendakwa penganjuran program serta pengumuman peruntukan oleh kementerian atau menteri ketika PRK bukanlah menjadi satu kesalahan.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, tindakan menggunakan sumber dan jentera kerajaan semasa berkempen adalah bertentangan dengan amalan baik pilihan raya di peringkat antarabangsa termasuk Perkara 4(1) Deklarasi Inter-Parliamentary Union (IPU).

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, walaupun terdapat 5,000 ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdaftar, namun, ada lebih 10,000 lagi penyokong dari parti itu.

“Saya amat harap ahli dan penyokong akan mengundi calon kita (Kerajaan Perpaduan) malah, setakat ini juga kami tidak mendengar apa-apa tentang isu boikot atau sebagainya,” katanya.

PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai nanti menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN