TIDAK berlebihan kalau saya labelkan Nur Farah Idayu sebagai antara penyanyi terbaik yang industri seni kita miliki.
Pemilik nama pentas Idayu itu tidak perlu pun membuktikan lagi perkara tersebut kerana satu Malaysia maklum kebolehan nyanyiannya yang bertaraf antarabangsa.
Namun setahun kebelakangan ini nama Idayu seakan kurang menyerlah. Apatah lagi ketiadaan dia muncul dengan single baharu, membuatkan peminat berteka teki, mana menghilangnya penyanyi INI.
Saya berpeluang bertemu Idayu baru-baru ini, kami bertanya khabar dan Bertukar perkembangan. Ternyata penyanyi ini tidak pernah mengucapkan selamat tinggal dunia nyanyian.
Cuma sebelum ini Idayu berehat sebentar bagi memberi tumpukan kepada cahaya mata sulung, Aryan Rifai Shahrul yang dilahirkannya empat tahun lalu.
“Saya tidak pernah merajuk dengan industri seni. Kehilangan saya untuk tempoh beberapa tahun sebelum ini adalah disebabkan saya mahu membesarkan sendiri cahaya mata sulung, berikan dia perhatian yang secukupnya.
“Selepas lama mengharapkan menimang cahaya mata, akhirnya Allah makbulkan doa saya dan suami. Jadi kami tak mahu sia-siakan kurniaan itu.
“Tapi dalam tempoh itu saya tetap bekerja, buat lah apa sahaja kerja di belakang tabir, selain mengusahakan perniagaan makanan bersama suami.
“Dan sekarang barulah saya memutuskan untuk kembali aktif menyanyi. Jadi, saya tegaskan tiada istilah kecewa dengan dunia nyanyian,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
Pada usia yang menjangkau 40-an, Idayu memaklumkan hala tuju kehidupan sudah berubah. Ditambah lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama, keutamaannya kini lebih tertumpu untuk keluarga.
Namun, dia belum terfikir untuk melangkah keluar bidang seni. Baginya perjuangan tetap diteruskan meskipun dengan langkah perlahan.
“Usia saya pun kini hampir menjangkau empat dekad, adakalanya saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi?
“Menyanyi tetap perkara nombor satu, bayangkan saya mula menyanyi sejak berumur tujuh tahun. Ini adalah minat saya
“Tapi keutamaan itu sudah berubah. Sekarang saya lebih mahu beri tumpuan untuk keluarga. Kalau dulu, betul-betul nak all out. Sekarang saya hanya go with the flow.
“Suami saya pula tidak menghalang. Malah dia yang selalu bagi semangat, beri saya kebebasan untuk buat keputusan sama ada mahu terus menyanyi atau tidak,” kongsinya lagi.
SINGLE BAHARU
Bercakap mengenai perkembangan terbaru, Idayu memaklumkan bakal hadir dengan sebuah single yang dianyanyikan bersama penyanyi, Yuka Kharisma yang dijangka menemui peminat sekitar Ogos ini.
Single tersebut dicipta bersama Yuka dan suaminya, Ahmad Jeffny dan masih dalam proses pembikinan.
“Lagu ini berbeza dengan single-single saya sebelum ini. Ia sebuah lagu balada yang menonjolkan sisi nyanyian saya yang berlainan.
“Saya tak mahu nyanyi lagu tangkap muat, sekarang ini lebih teliti memilih lagu. Single ini adalah yang pertama selepas saya melahirkan. Saya berharap peminat nantikan sehingga ia diperdengarkan Ogos ini,” kongsinya.