PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan pandangannya berhubung desas-desus parti itu mahu menyertai Kerajaan Perpaduan dengan perumpamaan yang dimuat naik dalam media sosial.
“Bas dipandu pemandu mabuk dan hilang ingatan, pembantu pula kaki sakau. Pemanduan sangat buruk dan hala tujunya akan terjun ke gaung.
“Tiada guna Pas menumpang di bas tersebut, apa yang perlu dilakukan ialah selamatkan penumpangnya,” tulisnya dalam Facebook, petang semalam.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pas berkata demikian dipercayai merujuk kepada khabar angin Pas akan menyertai gabungan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini dilaporkan berkata, ada banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang terutama membabitkan kerajaan negeri.
Bagaimanapun Fahmi tidak menjelaskan secara khusus kandungan perbincangan itu.
Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menyangkal dakwaan itu dengan menegaskan, tiada sebarang rundingan atau perbincangan dan mesyuarat dalaman parti atau bersama untuk mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN










