Tempoh kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia tidak dilanjut

Tempoh kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia tidak dilanjut

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tiga dari kiri) ketika mengiringi Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) semasa mengadakan kunjungan ke Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh masa bagi pekerja Bangladesh yang terkandas ekoran terlepas tarikh masuk ke negara ini yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal ini demikian kerana, pengumuman berhubung tarikh akhir itu telahpun dihebahkan lebih awal.

Katanya, tempoh yang diberikan adalah munasabah, malah, majikan yang ingin membawa masuk pekerja asing ke negara ini mempunyai masa yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Ketika tarikh (31 Mei) itu ditetapkan, kita telah ambil kira semua proses. Maknanya, bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa, atur tiket dan semua itu boleh dilakukan sebelum tarikh akhir.

“Dari 28 Mei sehingga 31 Mei iaitu dalam tempoh empat hari, jumlah kemasukan pekerja asing yang direkodkan lebih 20,000 orang dan apabila kita buat semakan, didapati ada antara mereka yang visanya sudah diluluskan sejak November tahun lepas lagi.

“Kalau majikan betul-betul memerlukan pekerja (asing) untuk kait buah di ladang, visa dah lulus, dapatkan tiket maka datanglah. Mengapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk pekerja asing?” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai rayuan kerajaan Bangladesh berikutan hampir 17,000 rakyatnya yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun, terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk dibenarkan masuk ke Malaysia.

Terdahulu, Saifuddin mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak melawat Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, unjuran kemasukan pekerja asing mencecah sehingga 2.6 juta orang pada Disember tahun ini dan ia melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu kira-kira 2.5 juta.

“Tentunya kemasukan mereka ini untuk sektor perkilangan, perkhidmatan serta pembinaan dan ia mencecah sasaran keperluan tenaga pekerja asing.

“Tapi, untuk sektor perladangan dan pertanian, kita akan proses mengikut kelulusan kuota sedia ada sekarang ini. Tiada lagi kelulusan baru dan sebagainya. Sebaliknya, kita akan tengok pertimbangan berdasarkan kes,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Bangladesh memohon kepada Malaysia supaya hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia, dibenarkan masuk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN