Teknologi dron, AI kerja masa depan

Teknologi dron, AI kerja masa depan

KERATAN akhbar laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bidang teknologi tinggi se­perti dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik adalah peluang kerja masa depan serta menarik minat ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pe­ngajian dalam jurusan berkaitannya berbanding bidang Sains Tulen.

Justeru, bagi memenuhi ke­perluan tenaga kerja masa depan, disyorkan fakulti sains tulen, sains sosial, kejuruteraan dan kesihatan di universiti-universiti di negara ini mewujudkan fakulti khusus serta program-program berkaitan bidang berkenaan yang selaras dengan polisi kerajaan.

Statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2021 mendapati, majoriti lepasan SPM iaitu seba­nyak 19,721 pelajar atau kira-kira 21 peratus memilih bidang pengajian Sains Sosial, Perniagaan dan Perundangan.

Pengajian dalam bidang Sains, Matematik dan Komputer seba­nyak 8,361 pelajar atau kira-kira 15.5 peratus manakala bidang Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan pula 14,679 pelajar atau kira-kira 18.7 peratus selain bidang Kesihatan dan Kebajikan merekodkan 912 pelajar atau kira-kira 6.3 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, selaras dengan perkembangan semasa, teknologi dron terus berkembang dan semakin banyak digunakan dalam industri pemetaan, survei, pertanian dan keselamatan.

Menurut beliau, bidang AI pula menjadi kunci dalam sektor-sektor seperti perniagaan dan kesihatan selain robotik menarik minat de­ngan peranan dalam automasi industri.

Katanya, minat terhadap program berkenaan mencerminkan perubahan dalam keperluan pasaran tenaga kerja pada masa kini dan perkembangan teknologi yang berlaku.

Selain itu, kata beliau, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan pelajar lepasan SPM kurang tertarik pada bidang Sains Tulen antaranya seperti kurang­nya pendedahan dan kesedaran, persepsi negatif dan ketidakpastian tentang peluang kerjaya selain kurangnya sokongan serta sumber daya.

“Untuk mengatasi cabaran ini, perlu ditingkatkan kesedaran tentang pentingnya Sains Tulen dan disediakan pendedahan yang mencukupi serta sokongan selain sumber daya yang mencukupi bagi pelajar.

“Dengan langkah-langkah ini, diharapkan minat terhadap bidang Sains Tulen dapat ditingkatkan sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sains dan teknologi di Malaysia.

“Kalau dilihat, minat pelajar terhadap bidang Sains di negara ini merosot dengan ketara kepada 40 peratus pada 2018 berbanding 66.7 peratus 2019 dengan dijangka trend itu terus meningkat,” katanya.

Isnin lalu, seramai 373,525 calon SPM sudah mendapat keputusan masing-masing dengan daripada jumlah itu, 11,713 orang memperoleh keputusan semua A.

Secara keseluruhannya, seramai 349,297 orang atau 93.5 peratus la­yak mendapat sijil dengan 226,358 orang lulus semua mata pelajaran yang diduduki.

Siaran muka depan Utusan Malaysia semalam melaporkan, berdasarkan keputusan SPM 2023, seramai 21,157 lepasan layak menyambung pengajian dalam bidang perubatan, sekali gus boleh me­ngatasi masalah kekurangan doktor yang dihadapi negara ketika ini.

Namun, golongan tersebut didakwa tidak berminat untuk meneruskan pengajian dalam jurusan itu mungkin disebabkan kos yang tinggi dan bimbang sukar tamatkan pengajian.

Mengikut laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2023, kira-kira 23 peratus pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk semua subjek atau sekurang-kurangnya satu subjek Elektif STEM iaitu Sains Tulen dan Matematik Tambahan berpotensi mengambil jurusan tersebut.

Shamshul Anaz berkata, pada masa ini, majikan merekrut lepasan graduan yang mempunyai penge­tahuan, kemahiran dalam konteks inovasi, bakat dan bersifat keusahawanan dalam diri.

“Justeru, cabaran masa depan universiti dan majikan ialah bersifat teknologi tinggi, pengurusan teknologi dalam semua bidang dan program yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak industri serta pasaran,” katanya.

Selain itu, katanya, bidang kejuruteraan, terutama kejuruteraan awam, elektrik dan mekanikal terus diminati kerana peranan pentingnya dalam pembangunan infrastruktur serta industri negara.

Katanya, bidang kewangan dan perniagaan juga tetap menjadi pilihan popular yang memberi peluang kerjaya yang pelbagai di sektor korporat, perbankan, kewangan dan perniagaan kecil atau sederhana.

“Dengan kepelbagaian bidang pengajian yang ditawarkan, lepasan SPM di negara ini diharapkan dapat membuat pilihan yang bijak yang sejajar dengan minat, bakat dan matlamat profesional mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN