Teater ‘Najis Jadi Teman’ sempena ulang tahun IWK ke-30

Teater ‘Najis Jadi Teman’ sempena ulang tahun IWK ke-30

Aksi kakitangan IWK dalam teater ‘Najis Jadi Teman’ sempena sambutan ulang tahun syarikat yang ke-30 di Dewan Merbau, IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam tad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) menganjurkan persembahan teater komuniti amal bertajuk ‘Najis Jadi Teman’ sempena sambutan ulang tahun syarikat yang ke-30 malam tadi.

Persembahan teater ‘Najis Jadi Teman’ membawa penonton menelusuri perjalanan dan cabaran proses rawatan kumbahan yang penting dalam membekalkan kualiti air yang bersih namun acap kali dipandang serong oleh segelintir masyarakat. 

Melalui gabungan unik teater, tarian, dan muzik, produksi ini meneroka peranan mencabar dan kritikal pekerja loji kumbahan yang sering digambarkan sebagai kotor, sukar dan berbahaya, di samping menekankan pentingnya sanitasi yang betul untuk kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, perkara ini menjadi keutamaan untuk sentiasa menyokong pelbagai usaha serta mendidik orang awam tentang kepentingan pengurusan kumbahan yang cekap demi melindungi dan memelihara alam sekitar.

Katanya, persembahan teater itu bukan sahaja meraikan tiga dekad perkhidmatan dan dedikasi IWK tetapi juga berfungsi sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, serta membuktikan sokongan IWK terhadap komuniti setempat.

“Kebanyakan kerja-kerja dan operasi IWK dilakukan secara belakang tabir namun ianya penting dalam menjaga pemeliharaan kesihatan awam dan alam sekitar. 

“Sempena ulang tahun ke-30, IWK teruja untuk menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat melalui kolaborasi bermakna dan kreatif seperti penganjuran teater amal ini,” katanya sewaktu pembukaan teater amal IWK di Dewan Merbau, IWK Eco Park, Pantai Dalam, malam semalam.

Mengulas lanjut, Narendran berkata, persembahan teater ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pemeliharaan alam sekitar serta mengumpul dana bagi mendokong aktiviti harian YCK. 

“Penonton juga boleh menjangkakan pengalaman yang menghiburkan dari pelbagai aspek, lagu-lagu menarik dan aktiviti interaktif yang menjanjikan hiburan dan peluang untuk menyumbang serta hasil jualan tiket akan disalurkan kepada YCK.

“Pengarah produksi teater ini merupakan penggiat teater terkenal, Razif Hashim dan menampilkan bakat-bakat besar tempatan seperti Atilia Haron, Phraveen Arikiah dan Alfred Loh sebagai pemegang watak utama,” jelasnya.

Turut menyertai persembahan teater ini adalah bakat-bakat cilik dari YCK, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berdedikasi untuk menyokong kanak-kanak dan remaja yang berisiko di sekitar Kuala Lumpur.

Majlis turut dihadiri Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi, Pengasas YCK, Datuk Dr. Hartini Zainudin dan Patron yang juga Pemegang Amanah YCK, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tunku Muhriz. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN