MELAKA 16 Jun – Bintang terkemuka China, Fan Bingbing mengakui tanggungjawab berat apabila dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka 2024 dalam usaha membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka (TMM2024).
Menurut pelakon utama dalam drama The Empress of China itu, pelantikannya itu oleh kerajaan negeri adalah satu penghormatan yang sangat besar buat dirinya.
“Saya merasa sangat bertuah kerana Melaka adalah sebuah tempat yang unik jauh berbeza daripada tempat pelancongan terkenal yang lain.
“Saya sebenarnya sangat suka dengan Melaka melihat asal usul hubungan bersejarah Melaka dan China begitu lama dan saya turut berharap lebih ramai lagi mengunjungi Melaka kerana banyak yang boleh diperkenalkan.
“Sejak pandemik Covid-19 fikiran saya tidak tenang dan saya pun tidak pernah keluar negara melancong, namun selepas pandemik sektor pelancongan kembali meriah,” ujarnya kepada pemberita dalam sesi temubual di sebuah hotel di Kota Laksamana di sini hari ini.
Bingbing yang mengenakan pakaian moden China sewaktu sesi tersebut bagaimanapun hanya menjawab soalan pemberita dalam Bahasa Mandarin.
Pelakon itu tiba di Melaka sejak Jumaat lalu dalam mempromosikan TMM2024 selaku Duta Setiakawan Pelancongan Melaka turut menghadiri Jamuan Teh bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dataran Pengkalan Rama.
Beliau turut menghadiri Pameran Khas Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor, Pameran Hang Tuah dan Malaysia Bike Week Melaka (MBWM) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Bingbing berkata, beliau mengakui Melaka adalah sebuah destinasi tarikan pelancong utama serta mempunyai banyak kesan sejarah lama antara kedua-dua
negara.
Menurutnya, dia mula mengenali Malaysia daripada seorang rakan yang bekerja dengannya serta mula merasa teruja untuk datang ke Melaka.
Katanya, keseronokan berkunjung ke negeri ini kerana dapat menenangkan fikiran dengan melihat mural Wu Ze Tian, makan durian, melawat bangunan Stadthuys dan Muzium Peranakan.
“Saya berminat menjalani kehidupan di Malaysia. Kalau ada peluang nanti, saya pun nak merasai pengalaman di Kuala Lumpur yang mempunyai ramai pengarah filem dan saya berharap satu hari nanti dapat bekerjasama dengan mereka,” ujarnya. – UTUSAN









