KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap pelakon antarabangsa terkenal yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing.
Pelakon utama filem Mother Bhumi itu berperanan dalam mempromosikan Malaysia menerusi industri perfileman antarabangsa.
Berdasarkan hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi menghadap Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Selasa lalu.
Hadir sama, penerbit Mother Bhumi, Wong Kew Soon; pengarahnya, Chong Keat Aun yang memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan pengurus Fan Bingbing yang juga anak kelahiran Johor, Jersey Chong.
Mengadunkan sejarah, dongeng rakyat dan kepercayaan mistik yang berakar umbi di Kedah, filem itu berlatarkan era lewat 1990-an di kawasan pedalaman berhampiran sempadan Thailand, mengisahkan wanita yang bekerja sebagai pesawah di siang hari dan bomoh pada waktu malam.
Filem itu juga mendapat pengiktirafan antarabangsa serta mengharumkan nama Malaysia menerusi pencapaiannya di pentas perfileman dunia termasuk Golden Horse Awards, Tokyo International Film Festival dan Far East Film Festival. – UTUSAN










