KUALA LANGAT: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerima peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta daripada kerajaan sebagai inisiatif untuk memperkasa bidang tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menambah peruntukan tersebut untuk pemerkasaan dalam program kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan, kemahiran lanjutan, teknologi elektrik, perladangan, penternakan dan automasi pertanian serta industri nadir bumi.
Menurutnya, peruntukan itu akan disalurkan melalui melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, selain Majlis TVET Negara akan menentukan bidang keutamaannya.
“Jadi itu kita peruntukan dan lain-lain dijalankan tambahan untuk orang asal selari dengan dasar ekonomi madani, jadi saya fikir tiada masalah untuk diluluskan dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mempunyai mandat penuh untuk melaksanakn TVET.
“Pembiayaan dalam bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program latihan, selari hasrat kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
“Ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari keperluan revolusi industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan serta pastinya memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir,” katanya ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024, hari ini.
Lebih 50,000 pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan siswa institusi TVET menghadiri sambutan tersebut sejak semalam yang menyediakan lima pengisian termasuk pameran kerjaya TVET oleh pemain-pemain industri.
Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut meluncurkan Dasar TVET Negara 2030 menjadi rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik dapat dilakukan menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bersetuju untuk mewujudkan lebih banyak segmen TVET terutama kepada masyarakat Orang Asli dan bumiputera Sabah dan Sarawak, apabila menyifatkan ia selari dengan dasar ekonomi Madani.
“Cadangan tersebut untuk orang kurang upaya (OKU), orang asal (Sabah dan Sarawak), saya percaya ia selari kerangka ekonomi Madani. Justeru, tiada masalah untuk diluluskan dan Ahmad Zahid mempunyai mandat penuh daripada Jemaah Menteri untuk melaksanakan TVET dan beliau melakukannya dengan jaya serta membanggakan kita,” jelasnya.
Tambahnya, semua pihak, terutama pelatih, tenaga pengajar dan pensyarah TVET boleh menilainya menerusi sudut baharu yang akan menentukan masa hadapan negara.
“Saya juga harap semangat baharu akan wujud, selain pelatih, tenaga pengajar, pensyarah dan sebagainya untuk melihat TVET mengikut kaca mata atau ‘teropong’ baharu. Ini (TVET) akan menentukan Malaysia akan terangkat sebagai negara hebat (dalam) industri teknologi tinggi dan AI di masa hadapan.
“Golongan muda jugalah yang akan menentukan sama ada kita mempunyai keupayaan (atau sebaliknya). Ini bukan sahaja soal mendapat pekerjaan disegani tetapi kerjaya yang (menawarkan) pendapatan lebih tinggi,” ucapnya.
Katanya lagi, golongan muda wajar mempertimbang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET memandangkan negara ketika ini muncul lokasi penting bagi pelaburan, terutama sektor semikonduktor.
“Jerman, beberapa negara di Eropah, Amerika Syarikat dan China adalah negara yang mengeksport cip dari Malaysia. Sebanyak 25 peratus daripada keperluan cip di AS dieksport dari Malaysia. Sayap pesawat Boeing dan Airbus juga disiapkan pelatih TVET Malaysia.
“Syarikat Airbus di Jerman baru-baru ini, mengakui keupayaan golongan muda kita kerana sudah tentu politik stabil dan dasar jelas. Namun, tidak boleh dinafikan disiplin dan tenaga kerja dijalankan dengan baik dan hasrat untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kecepatan perubahan pada tahap dunia pascanormal tidak pernah dilalui mahupun diduga sebelum ini, selain memerlukan kaedah baharu dan pantas bagi mengelak Malaysia daripada ketinggalan. – UTUSAN










