PUTRAJAYA: Taktik sindiket penyeludupan manusia menggunakan kapal nelayan dan menukar kepada bot kecil di tengah lautan, akhirnya tumpas apabila tiga dalang utama ditahan Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor, semalam.
Dalam operai itu, seramai 12 orang warganegara Indonesia dan tiga dalang sindiket itu ditahan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu oleh pasukan operasi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan operasi pada awalnya diatur gerak dan bertembung dengan tiga buah kenderaan dipandu oleh tiga orang suspek dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kesemua suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai ‘mastermind’ berusia dalam lingkungan 47 tahun dan dua orang lelaki tempatan yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia antara 31 hingga 40 tahun.
“Turut ditahan dua orang lelaki, masing-masing seorang perempuan kanak-kanak lelaki warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, pasukan operasi kemudiannya diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam hasil soal siasat dan berjaya menahan lapan lagi lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba dari Indonesia melalui laluan laut.
Jelas beliau, hasil semakan awal mendapati dua orang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala 10 lagi warganegara Indonesia termasuk seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi merampas lima naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM6,200 dan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipercayai untuk mengangkut PATI.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar, Selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, dalang sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia termasuk kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.
Katanya, sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun.
“Seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kesemua warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Sek.6(3) dan Sek.15(4), Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN










