KUALA LUMPUR: Ketetapan terhadap kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) dijangka dimuktamadkan sebelum Oktober ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu sedang diperhalusi dan kini berada dalam perbincangan di peringkat akhir bersama beberapa kementerian lain.
“Sebelum Oktober. Tidak lama dah. (Cadangan) masih di peringkat perbincangan dan sebarang perubahan harga (BPT) dan sebagainya itu perbincangannya melibatkan empat hingga lima kementerian.
“Bukan hanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tetapi Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan beberapa kementerian lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ yang berlangsung pada 1` hingga 22 September di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan kenaikan harga syiling BPT yang ketika ini dikawal oleh kerajaan. – UTUSAN











