Syarat subsidi Budi Madani tidak munasabah-Wee Ka Siong 

Syarat subsidi Budi Madani tidak munasabah-Wee Ka Siong 

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat-syarat yang dikenakan bagi para petani dan pekebun kecil untuk melayakkan diri menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani pada 10 Jun ini adalah tidak munasabah.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, antara syaratnya adalah pemohon perlu dari syarikat berdaftar dengan hasil jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000. 

“Ini bermaksud kebanyakan petani dan pekebun kecil tidak akan layak menerima subsidi diesel. 

“Subsidi RM200 sebulan terlalu sedikit untuk pekebun kecil dan para petani kerana mereka bukan sahaja menggunakan diesel untuk pengangkutan sahaja malah untuk pelbagai keperluan seperti jentera pengairan, generator dan pam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Tambahnya, jika rasionalisasi subsidi diesel ini tetap dilaksanakan, ia akan meningkatkan kos operasi sekaligus menyumbang kepada kenaikan harga makanan atau pengurangan pengeluaran. 

“Memandangkan keterjaminan makanan dan harga makanan adalah isu penting. Maka ia satu kesilapan besar untuk meletakkan sektor pertanian di bawah skim Budi Madani.

“Sektor pertanian harus diletakkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS) sepertimana yang dibuat dengan sektor pengangkutan dan bukannya dimasukkan di bawah sistem subsidi Budi Madani,” katanya.

Ka Siong berkata, syarat layak menerima subsidi bagi petani dan pekebun kecil di bawah SKDS juga wajar dilonggarkan. 

“Jika kerajaan berkeras meletakkan sektor pertanian di bawah skim Budi Madani maka jumlah subsidi bulanan haruslah dinaikkan kepada jumlah yang lebih munasabah serta syarat kelayakan juga haruslah memasukkan pemilik tunggal. 

“Jumlah hasil tahunan harus diubah dari RM50,000 hingga RM300,000 kepada RM0 hingga RM1.5 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN