Suruhanjaya Gig: PM minta memorandum dibawa segera

Suruhanjaya Gig: PM minta memorandum dibawa segera

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membawa satu memorandum berkaitan penubuhan Suruhanjaya Gig secepat mungkin agar keputusan dasar mengenainya boleh dibuat segera.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menerusi mesyuarat Kabinet hari ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim turut memaklumkan mengenai beberapa perkembangan serta maklum balas yang diterima.

“Terdapat beberapa perkembangan dan maklum balas yang disampaikan menteri, tetapi perincian lanjut boleh berhubung dengan Kesuma.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada perkembangan positif dan kita juga lihat ada beberapa perkara yang bersifat ‘quick win’ dan penegasan sama ada isu kebajikan atau pun masa depan mereka yang terlibat dalam ekonomi gig,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Kesuma akan membentangkan nota pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat Kabinet.

Menterinya, Steven Sim berkata, pembentangan nota pertama itu membabitkan laporan interim cadangan berkenaan bertujuan memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Dalam perkembangan berlainan, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, kerajaan sentiasa menjalankan pemantauan rapi dan tidak akan mengubah pendirian berhubung keputusan menyekat kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di pelabuhan negara ini.

“Dalam mesyuarat hari ini kita ada mendapat sedikit maklum balas dan juga penegasan dari Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) bahawa sebarang kapal dari syarikat ZIM tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Malaysia dan juga kontena.

“Pemantauan dibuat secara rapi dan telah diputuskan untuk tidak membenarkan kontena-kontena dibawa masuk ke dalam negara, yang berlaku di Perlis itu adalah selaras dengan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung cubaan motolori dari negara jiran yang membawa kontena tertera logo ZIM yang memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis pada Ahad lepas.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis menahan dan melakukan pemeriksaan lanjut sebelum mengarahkan kenderaan berserta kontena berisi ayam sejuk beku itu berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini