Mahkamah Tinggi dipohon ketepi rayuan Rewcastle-Brown

Mahkamah Tinggi dipohon ketepi rayuan Rewcastle-Brown

GUOK NGEK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pihak pendakwaan kes fitnah Sultanah Terengganu memohon Mahkamah Tinggi menolak rayuan Clare Rewcastle-Brown untuk mengetepikan sabitan salah dan hukuman terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, berkata, hal ini kerana Rewcastle-Brown selaku perayu tidak pernah hadir sepanjang prosiding dijalankan sejak peringkat awal.

Pengarang Sarawak Report itu pada 7 Februari lalu telah disabitkan kesalahan dan dihukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memfitnah Sultanah Nur Zahirah.

Dalam hujahannya ketika pengurusan kes hari ini, Engku Ahmad Rashdi berkata, Rewcastle-Brown seharusnya tahu prosiding sudah berjalan sejak 2021 namun masih gagal untuk hadir ke mahkamah.

“Justeru walau apa pun hujahan perayu, kami dengan rendah diri memohon rayuan ini dibatalkan atas alasan ketidakhadirannya sepanjang masa ke prosiding di Mahkamah Majistret mahu pun Mahkamah Tinggi.

“Hujahan perayu hanya melengahkan masa kerana perayu juga tidak berada di negara ini. Jadi kami mohon rayuan perayu untuk membatalkan perintah Mahkamah Majistret, ditolak,” katanya.

Engku Ahmad Rashid membuat hujahan demikian ketika prosiding pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani di sini, hari ini.

Hakim kemudian menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya untuk rekod rayuan disiapkan sambil turut mengarahkan agar Rewcastle-Brown hadir pada tarikh berkenaan.

Peguam mewakili wanita warga Britain itu, Guok Ngek Seong, pula berkata, pihaknya telah memfailkan petisyen rayuan pada 4 Jun lalu iaitu hari sama menerima alasan penghakiman oleh Mahkamah Majistret.

“Berhubung isu ketidakhadiran perayu, kami juga memfailkan hujahan mengutarakan bahawa kehadiran perayu adalah tidak wajib dalam kes yang kami rasa perintahnya tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhi Rewcastle-Brown hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah memfitnah Sultanah Nur Zahirah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×