PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangka Pelan Strategik Latihan Kepakaran Perubatan untuk melatih dan melahirkan lebih ramai doktor pakar di negara ini.
Jumlah pakar perubatan dalam negara sehingga 2022 adalah seramai 8,972 orang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sebanyak 19,714 pakar perubatan diperlukan menjelang 2030.
Inisiatif menerusi Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia itu akan memperkasa pengurusan program kepakaran perubatan bagi memenuhi keperluannya di negara ini.
Ia termasuk meningkatkan kualiti latihan kepakaran yang dilaksanakan menerusi 95 program dengan 91 program berada di Universiti Awam (UA) dan selebihnya di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta pengiktirafan Majlis Perubatan Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, setakat tahun lalu, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menghasilkan seramai 7,935 graduan Sarjana Perubatan.
“Pada masa ini, terdapat 11 UA yang mengendalikan Program Pengajian Perubatan di Fakulti Perubatan masing-masing yang mana lapan daripadanya menawarkan Program Sarjana Perubatan serta Sarjana/Kedoktoran Perubatan,” katanya di sini semalam.
Lapan universiti awam itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain itu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut Zambry, Mesyuarat Inisiatif Meningkatkan Jumlah Slot Pengajian Kepakaran oleh KKM sebelum ini bersetuju meningkatkan slot pengajian kepakaran bagi Program Sarjana Perubatan kepada 150 slot setiap tahun.
Dalam konteks ini, katanya, sebanyak 28 bidang kepakaran (kecuali Urologi) daripada keseluruhan 29 bidang kepakaran ditawarkan di UA, antaranya Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Neurosurgeri, Obstetrik dan Ginekologi, Onkologi serta Ortopedik.
“Bagi menampung kekurangan bilangan pakar perubatan, KKM meluluskan pelaksanaan Latihan Kepakaran Parallel Pathway dalam 14 bidang bagi menyokong pelan ke arah peningkatan pakar perubatan negara,” katanya.
Beliau berkata, terdapat dua sistem berkaitan latihan kepakaran program perubatan iaitu parallel pathway (ditawarkan oleh KKM) dan kursus-kursus sedia ada di UA yang melalui proses akreditasi MQA.
Berhubung hal ini, katanya, KPT sentiasa bersedia memudah cara perkara-perkara yang berkaitan dengan kedua-dua sistem tersebut.
“Kabinet sebelum ini turut bersetuju hal-hal berkaitan parallel pathway ini diselaraskan oleh KKM. Namun, KPT sentiasa bersedia untuk membantu.
“UiTM juga telah menerima Perakuan Akreditasi Sementara (PAS) bagi program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik) dan Kedoktoran Surgeri Kardiotorasik pada 13 Ogos 2020 oleh MQA.
“Dengan adanya kelulusan ini, UiTM diiktiraf sebagai pusat pengajian tinggi untuk latihan kepakaran kardiotorasik,” katanya. – UTUSAN









