IPOH: Perak FC dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan berbincang bagi menjadikan Stadium MPM di Sri Manjung sebagai gelanggang alternatif untuk pasukan itu mengharungi pusingan kedua bola sepak Liga Malaysia.
Ini berikutan Stadium Perak di sini akan dinaik taraf bermula November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perbincangan akan terarah kepada usaha untuk memastikan kerja-kerja naik taraf terutama membabitkan kecerahan lampu limpah stadium dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Stadium MPM mempunyai masalah tidak melepasi syarat iaitu minimum 1, 200 lux kawasan kecerahan stadium dan memerlukan proses penambahbaikan.
“Jadi saya fikir, kita perlu beri ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dan mencapai kata putus berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada Program Kem Belia Kreatif 2024 di sini semalam.
Pada 4 Jun lalu, Khairudin menjelaskan penggunaan Stadium MPM sebagai gelanggang alternatif Perak FC untuk mengharungi aksi pusingan kedua Liga Malaysia merupakan antara salah satu cadangan bagi menggantikan Stadium Perak.
Cadangan lain yang turut dikemukakan supaya The Bos Gaurus mengharungi semua perlawanan liga di gelanggang lawan.
Selain itu, Khairudin optimis perbincangan antara pengurusan Perak FC dan MPM akan berjalan lancar serta dapat memuktamadkan keputusan yang positif buat para penyokong.
“Kita faham dan tahu semua penyokong fanatik Perak FC mahu perlawanan tetap diadakan di negeri ini bagi memudahkan mereka memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berharap Stadium MPM menjadi gelanggang buat pasukannya mengharungi aksi liga di hadapan ribuan peminat.
Beliau berkata, sorakan dan sokongan yang diberikan oleh para peminat merupakan satu kelebihan yang cukup ampuh untuk memastikan pasukan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggapai kemenangan.
“Tanpa peminat, hilang seri permainan dan kita juga sedia maklum bahawa sokongan yang diberikan oleh peminat sebagai pemain ke-12 amat penting bagi menyemarak semangat pasukan.
“Saya harap perbincangan antara pihak pengurusan dan pihak lain yang terlibat untuk memastikan Stadium MPM menjadi gelanggang kami beraksi sebagai pasukan tuan rumah berjaya dicapai,” katanya. – UTUSAN











