KANGAR: Nikmat dapat mengumpul ‘kenangan’ menjadikan Mohd. Redzuwan Mohd. Jamail, 38, tidak kisah berhabisan sehingga RM90,000 sepanjang hampir 10 tahun mengumpul koleksi naskhah lama majalah lawak dan humor tempatan khususnya majalah Gila-Gila.
Malah, pembantu pembantu tadbir Jabatan Kesihatan negeri itu juga sanggup menggunakan wang simpanan sebanyak RM10,000 pada tahun 2021 hanya untuk memiliki naskhah pertama majalah Gila-Gila yang diterbitkan pada 1 April 1978.
Manakala bagi edisi kedua majalah Gila-Gila yang pernah diterbitkan pada Mei 1978, dia berbelanja RM2,000 untuk memiliki naskhah itu.
Mohd. Redzuwan juga berjaya mengumpul keseluruhan edisi majalah Gila-Gila tersebut daripada edisi pertama sehingga terkini 865 sekali gus turut diiktiraf oleh pihak redaksi majalah berkenaan sebagai pengumpul tunggal majalah Gila-Gila yang memiliki kesemua keluaran majalah tersebut dari 1978.
Selain majalah Gila-Gila, dia juga mempunyai koleksi majalah Ujang dari edisi pertama sehingga 200, majalah Apo dari keluaran satu hingga 398, majalah Batu Api, Humor, Gelihati, Gelagat, Varia Lawak, Buletin Lubuk, Kawan, Anak-Anak Sidek dan pelbagai lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Redzuwan berkata, sebelum ini, setiap bulan dia akan membeli majalah Gila-Gila sebagai bacaan hiburan serta mengumpulnya sehingga berhasrat untuk mendapatkan majalah berkenaan keluaran era 80-an dan 70-an.
Katanya, sejak daripada itu, dia mula mencari edisi majalah berkenaan yang diterbitkan akhir 1970-an sebelum berjaya mendapatkan majalah Gila-Gila edisi kedua pada tahun 2018.
“Selepas mendapat keluaran kedua, saya mula mencari edisi sulung majalah Gila-Gila sehingga akhirnya berjaya mendapatkannya yang dibeli daripada seorang kenalan di Kuala Lumpur yang menawarkan saya majalah Gila-Gila keluaran pertama bertarikh 1 April 1978 dengan harga RM10,000 dengan keadaan fizikal majalah berkenaan yang masih baik.
“Pada masa itu, sekitar tahun 2021, isteri saya bertanya adakah saya serius untuk membeli majalah berkenaan dengan harga RM10,000 itu dan saya bersungguh-sungguh untuk memilikinya kerana ditakuti harganya akan menjadi semakin meningkat.
“Isteri saya pun bersetuju dan akhirnya saya membeli edisi pertama dengan membayarnya secara tunai dengan harga RM10,000 menggunakan wang simpanan pada masa itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bintong Aman, di sini semalam.
Tambahnya, dia yang mempunyai ribuan koleksi majalah lawak dan humor tempatan itu akan terus menyimpannya sehingga akhir hayat memandangkan mengumpul ‘kenangan’ tersebut adalah cukup bermakna.
“Pada masa ini, saya juga membelanjakan kira-kira RM500 sebulan bagi membeli majalah-majalah ini. Isteri saya juga sentiasa menyokong minat saya ini,” katanya. – UTUSAN










