KUALA LANGAT: Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk mengambil kursus dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang pilihan bagi menyambung pengajian atau kerjaya mereka pada masa hadapan.
Bukan sahaja pelajar cemerlang, individu yang kurang bernasib baik atau tidak mengambil peperiksaan tersebut turut digalakkan mengambil kursus berkenaan supaya mereka dapat memperoleh pekerjaan, sekaligus dapat mempunyai pendapatan bagi menyara diri sendiri serta keluarga mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET adalah bidang yang mana mereka yang pandai atau kurang dalam bidang akademik boleh masuki serta mempunyai peluang cerah untuk mendapat pekerjaan.
“Semua boleh masuk kursus TVET asalkan individu ada kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.
“Saya fikir semua mempunyai kemahiran itu dan kita tawarkan TVET kepada mereka kerana kita mahu masa hadapan mereka terjamin,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, hari ini.
Tambahnya, Ahmad Zahid turut menggalakkan pekerja e-hailing dan p-hailing untuk memasuki kursus ini, dengan program reskilling dan upskilling ditawarkan kepada mereka.
Menurutnya, bidang TVET dapat menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi kerana bidang ini mendapat permintaan pekerjaan yang tinggi daripada syarikat dalam dan luar negara.
“Saya merasakan kursus yang ditawarkan (institusi TVET kerajaan dan swasta) mengikut permintaan (bidang kerja) syarikat luat negara dan domestik. Kita harap ibu bapa dapat mengalakkan anak mereka memasuki TVET kerana bidang TVET menjanjikan peluang pekerjaan serta gaji yang lebih tinggi,” ujarnya.
Mengenai sambutan Hari TVET Negara 2024 pada tahun ini, Ahmad Zahid meluahkan rasa puas hati dengan sambutan yang diberikan orang awam terhadap penganjuran hari tersebut.
Hal ini dibuktikan dengan kehadiran ramai pelajar lepasan SPM dan TVET pada hari ini bagi mengunjungi pelbagai reruai yang menawarkan peluang menyambung pengajian serta mendapat pekerjaan.
“Setakat hari ini, lebih 10,000 pengunjung yang hadir dan kita menjangkakan petang ini dan esok lebih ramai memandangkan Perdana Menteri akan hadir esok.
“Terdapat 48 pempamer di sini yang menawarkan lebih 4,000 kursus yang ditawarkan melalui 1,345 institusi TVET di seluruh negara sama ada TVET kerajaan atau TVET swasta,” jelasnya. – UTUSAN










