NIBONG TEBAL : “Isu air (di Sungai Bakap) ini sebenarnya telah diperjuangkan oleh arwah Abang Zam (Nor Zamri Latiff) lagi (ketika hayatnya). Jadi, saya akan bawa isu ini juga (ketika berkempen).”
Itu kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail, 56, ketika ditemui semasa mengunjungi rumah seorang penduduk di Taman Widuri, Sungai Bakap di sini.
Menurut Abidin, kerajaan Pulau Pinang sepatutnya mempertimbangkan pelawaan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini untuk menerima bekalan air bersih dari Lubuk Buntar sebagai sebahagian daripada langkah untuk menangani isu bekalan air ini.
“Tapi mereka (kerajaan Pulau Pinang) tolak mentah-mentah (cadangan Muhammad Sanusi). Kalau kita tengok kenyataan daripada PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) pula, isu ini akan selesai pada 2028.
“Dalam tempoh empat tahun itu sebenarnya, macam-macam boleh berlaku,” kata Abidin yang berharap dapat membantu penduduk di situ dalam menangani isu berkaitan air.

Dalam pada itu, wakil penduduk Taman Widuri, Mohd. Hussein Abd. Hamid, 58, memberitahu, masalah itu berlarutan sejak enam tahun lalu dan ia mengundang masalah kepada warga tua atau penduduk yang sakit untuk berulang-alik mengangkut air dari tangki yang disediakan.
“Kadang ada (air), kadang tak ada. Memang macam itulah setiap masa terutama selepas pukul 7 malam.
“Jadi, kalau boleh, kami penduduk-penduduk di Taman Widuri serta kawasan sekitarnya mahu wakil rakyat yang baharu nanti menyelesaikan isu ini dengan seberapa segera. Dah lama sangat macam ni,” katanya yang tinggal di situ sejak hampir 20 tahun yang lalu.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui turut menyatakan perkara yang sama dan berharap agar isu itu tidak lagi berlarutan untuk tempoh yang lebih panjang.
Pada masa yang sama, rata-rata mereka juga mahu wakil rakyat yang baharu mengambil tindakan drastik agar isu gangguan bekalan air tidak lagi membelenggu penduduk di situ selepas ini.-UTUSAN










